Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JAN – Kementerian Kesihatan mengadakan Majlis Pelancaran Buku Garis Panduan Pencegahan dan Kawalan Kanser Serviks Kebangsaan 2025 di Dewan Al’-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya merasmikan pelancaran dan tayangan klip video mengenai buku panduan tersebut ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Pemangku Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Pengiran Dr Hajah Siti Nasibah binti Pengiran Haji Ismail selaku pengerusi bersama majlis dalam ucapan alu-aluannya antara lain mengongsikan para profesional kesihatan di Negara Brunei Darussalam sejak 2009 telah mengamalkan Garis Panduan Nasional untuk Pencegahan dan Kawalan Kanser Serviks 2009 dalam usaha penyaringan, kawalan dan rawatan kanser serviks.
Menurut beliau, garis panduan tersebut telah membawa kepada peningkatan yang ketara dalam kualiti penyaringan kanser serviks serta pengurusan penyakit ini.
Walau bagaimanapun, jelasnya, berikutan amalan-amalan terbaik yang berdasarkan kajian-kajian dan dapatan klinikal yang terkini, serta sejajar dengan kemajuan teknologi dalam penyaringan kanser, adalah sangat penting bagi garis panduan dikemas kini bagi menjamin keberkesanan dan relevansinya yang berterusan.
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan telah mengambil inisiatif mengemas kini garis panduan berkenaan dengan melibatkan beberapa disiplin perubatan dan kesihatan untuk memastikan penyediaan garis panduan yang komprehensif.
Beliau turut mengongsikan profesional kesihatan yang terlibat adalah seperti dalam pelaksanaan perkongsian maklumat kesihatan dari Pusat Promosi Kesihatan, perkhidmatan pencegahan di peringkat program kesihatan awam dan pemberian vaksinasi HPV, peringkat penyaringan dan pengesanan di peringkat komuniti melalui pusat-pusat dan klinik-klinik kesihatan, pemeriksaan sampel-sampel oleh pihak makmal dan seterusnya rawatan-rawatan berkaitan oleh pakar-pakar di hospital.
Katanya lagi, “Komitmen yang sangat tinggi telah diberikan oleh mereka yang terlibat dalam penghasilan garis panduan ini, dan ini termasuk juga daripada pihak bukan klinikal, khususnya dalam urusan berkaitan dengan pencetakan juga adalah sangat-sangat dihargai.”
Di majlis itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut menyampaikan Buku Garis Panduan Pencegahan dan Kawalan Kanser Serviks Kebangsaan 2025 dan seterusnya menyaksikan tayangan video klip mengenai tatacara ujian HPV dan ciri ujian HPV melalui aplikasi BruHealth.
Bersempena dengan pelancaran itu, Kementerian Kesihatan akan mengadakan pameran Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan, termasuk mengenai kanser serviks serta menyediakan perkhidmatan saringan ujian HPV di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas mulai 16 hingga 19 Januari ini.
Orang ramai terutama wanita yang layak, dialu-alukan untuk hadir dan mengambil peluang ini bagi mengetahui status kesihatan mereka serta mendapatkan nasihat-nasihat kesihatan yang bermanfaat.
Turut hadir di majlis itu, Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.