Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Buku Pelan Strategik 2023-2027 Kementerian Pendidikan’ dilancar

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Kementerian Pendidikan melalui Strategic Enterprise Performance and Delivery Unit (SEPaDU) dan Jabatan Pengajian Tinggi telah melancarkan ‘Buku Pelan Strategik 2023-2027 Kementerian Pendidikan’ semasa Majlis Sambutan Hari Guru ke-33, Tahun 2023 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyempurnakan pelancarannya.

    Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai serta kakitangan Kementerian Pendidikan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Pelan strategik berkenaan merupakan manifestasi komitmen kementerian ini dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035, melalui misinya ‘Untuk Menyediakan Pendidikan yang Berkualiti dan Holistik untuk Kehidupan Pelajar yang Bermatlamat’.

    Berpandukan visi ‘Pendidikan Berkualiti, Negara Progresif’, pelan strategik menetapkan hala tuju untuk memupuk kecemerlangan pendidikan, mengukuhkan keupayaan sistem pendidikan secara keseluruhan, di samping menyokong kepelbagaian keupayaan dan bakat yang responsif kepada perubahan sistem pendidikan yang dinamik bagi lima tahun akan datang.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa berkenan menyempurnakan pelancaran ‘Buku Pelan Strategik 2023-2027 Kementerian Pendidikan’ pada Majlis Sambutan Hari Guru ke-33. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah. – Gambar oleh Infofoto

    Dengan menumpukan kepada tiga Matlamat Strategik, pelan strategik mencorak arus ke arah Matlamat Strategik 1, memupuk pelajar siap siaga masa hadapan manakala Matlamat Strategik 2, mempertingkat ekosistem pendidikan inovatif, dan Matlamat Strategik 3 pula, membina sumber tenaga manusia.

    Dengan adanya Matlamat Strategik 1, ia akan memberikan tumpuan kepada usaha untuk melahirkan pelajar siap siaga masa hadapan dengan kemahiran dan keupayaan untuk berinovasi.

    Selain mempunyai keupayaan untuk mencipta-sama, menjalani kehidupan, bekerja, untuk menghadapi masa hadapan yang sentiasa berubah serta menyumbang sebagai ahli masyarakat yang aktif.

    Sementara itu, Matlamat Strategik 2 adalah untuk mewujudkan ekosistem pendidikan yang inovatif yang mampu mengharungi landskap pendidikan yang sentiasa berubah dengan pesat.

    Matlamat ini akan memfokuskan kepada pembentukan nilai pelajar, selain memastikan amalan dan proses pendidikan yang sentiasa kukuh dan relevan, berupaya menyediakan penyelesaian baharu dan boleh disesuaikan dengan penglibatan pihak-pihak yang berkepentingan.

    Kementerian Pendidikan juga akan menyelaras penyemakan semula dan mengemas kini program-program, kurikulum dan penilaian-penilaian untuk sebarang jangkaan perubahan serta memperkenalkan fleksibiliti dalam ekosistem untuk menjadi lebih progresif.

    Manakala itu, Matlamat Strategik 3 pula menekankan kepada usaha untuk menambah baik dan membangunkan sumber tenaga manusia di semua peringkat.

    Perkara ini memainkan peranan penting bukan sahaja untuk mewujudkan sumber tenaga siap siaga masa hadapan, bahkan sumber tenaga yang berupaya mencapai kecemerlangan dalam pembelajaran dan latihan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda