Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Buku perpustakaan dikembalikan selepas 82 tahun

    SAN ANTONIO, 17 OGOS – Sebuah buku perpustakaan akhirnya dipulangkan ke Perpustakaan Awam San Antonio hampir 82 tahun selepas buku tersebut sepatutnya dikembalikan, bersama sepucuk surat yang menyatakan ‘Nenek tidak lagi mampu membayarnya’.

    Buku berjudul Your Child, His Family, and Friends karya kaunselor perkahwinan dan keluarga Frances Bruce Strain itu telah dipinjam pada Julai 1943 dan hanya dipulangkan pada Jun lalu oleh seorang individu dari Oregon, menurut kenyataan perpustakaan berkenaan.

    Buku itu merupakan panduan untuk ibu bapa dalam membantu anak-anak mereka memahami hubungan peribadi dan dipinjam ketika ayah beliau berusia 11 tahun.

    Buku berkenaan pernah mendapat liputan media pada zamannya iaitu The Cincinnati Enquirer pada Jun 1943 yang menyifatkannya sebagai ‘panduan lengkap hubungan peribadi seorang kanak-kanak dengan keluarga dan dunia luar’.

    Dalam surat yang dihantar bersama buku itu, individu berkenaan menulis, ‘Saya harap tiada denda lewat untuk buku ini kerana nenek sudah tidak mampu membayarnya lagi’.

    Sebuah buku akhirnya dipulangkan ke Perpustakaan Awam San Antonio hampir 82 tahun selepas tarikh sepatutnya di San Antonio, Texas pada 16 Ogos. – AP

    Menurut perpustakaan, mereka telah menghapuskan denda buku lewat pada 2021.

    Namun, pada kulit dalam buku itu masih tertera amaran denda untuk buku lewat ialah tiga sen sehari. Jika dikira tanpa inflasi, jumlah denda itu boleh mencecah hampir AS$900.

    Tiga sen pada Julai 1943 bersamaan 56 sen pada nilai hari ini, menurut Kalkulator Inflasi Biro Statistik Buruh AS dan ini bermakna jumlah denda sepatutnya lebih AS$16,000.

    Perpustakaan menyatakan buku tersebut masih berada dalam ‘keadaan baik’ dan Ia akan dipamerkan di perpustakaan pusat bandar itu sehingga penghujung Ogos sebelum diserahkan kepada Persatuan Rakan Perpustakaan Awam San Antonio untuk dijual bagi mengutip dana.

    Meskipun 82 tahun dilihat sebagai satu tempoh yang panjang bagi buku perpustakaan yang lewat dipulangkan, tetapi ia bukanlah rekod dunia.

    Guinness World Records menyatakan buku perpustakaan paling lewat pernah dipulangkan adalah di Sidney Sussex College, Universiti Cambridge, England, pada 1956.

    Buku tersebut telah dipinjam pada 1668, iaitu 288 tahun sebelumnya, namun tiada sebarang denda telah dikenakan. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda