Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Bagi mengongsikan memori dan keceriaan Kampung Saba suatu ketika dulu, ahli Jawatankuasa Penerbitan Buku Sejarah Mukim Saba telah menerbitkan buku bertajuk Purih Mukim Saba.
Sementara itu, Majlis Penyampaian Derma daripada hasil jualan buku-buku tersebut telah diadakan di Balai Ibadat Mukim Saba, anjuran ahli Jawatankuasa Takmir Balai Ibadat Mukim Saba (BIMS) baru-baru ini.
Majlis penyampaian sumba-ngan derma itu disempurnakan oleh Pengerusi Bersama Penerbitan Buku Sejarah Mukim Saba, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas, yang kemudian menyerahkan sumbangan derma itu kepada Ketua Imam BIMS, Awang Shahrin bin Haji Matnor.

Terdahulu majlis penyampaian derma itu, bacaan surah Al-Fatihah telah dibacakan oleh Bilal BIMS, Awang Mohd Salihin bin Haji Saat, manakala Doa Selamat dibacakan oleh Bilal BIMS, Awang Khairun bin Haji Drahman.
Di majlis itu, Awang Shahrin dalam ucapan alu-aluannya antara lain mengongsikan, ahli penerbitan buku ini terdiri daripada mereka yang pernah menghuni dan menceriakan kampung berkenaan dan pada tahun 2023, Jawatankuasa Penerbitan Buku Sejarah Mukim Saba telah melakar sejarah tersen-diri dengan bersatu hati menerbitkan buku berkenaan.
“Hasil penjualan dari buku-buku tersebut disumbangkan ke beberapa buah agensi termasuk BIMS,” tambahnya.
Dengan penerbitan buku Purih Mukim Saba dan penjualan buku-buku itu, ia menunjukkan anak jati mukim saba masih sahaja ada rasa cinta terhadap kampung halamannya, walaupun telah lama ditinggalkan, dan sifat seperti ini harus dipuji dan dijadikan contoh terbaik untuk semua.
