Sunday, November 17, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Buku rakam sejarah 56 tahun pemerintahan Baginda Sultan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Peristiwa dan perkembangan sejarah Negara Brunei Darussalam dalam pelbagai bidang sepanjang 56 tahun pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam diketengahkan menerusi tulisan makalah para penulis tanah air dan luar negara yang diterbitkan dalam buku Kesultanan Brunei dari Pelbagai Perspektif.

    Penerbitan buku berkenaan merupakan terbitan khas sebagai satu sumbangan Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-77 tahun. Ia akan dilancarkan pada satu majlis di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei (PSB) pada 11 Ogos ini.

    PESEBAR sebagai sebuah persatuan yang mengambil perhatian terhadap perkembangan sejarah tanah air, merakamkan peristiwa dan perkembangan sejarah negara sepanjang 56 tahun pemerintahan Baginda yang akan dijadikan ristaan, kenangan serta aspirasi generasi sekarang dan akan datang, jelas Pemangku Yang Di-Pertua PESEBAR, Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos dalam sidang media majlis pelancaran buku dan Mesyuarat Agung PESEBAR ke-9 Sesi 2021-2023 yang berlangsung di PSB, hari ini.

    Turut menyertai sidang media berkenaan ialah Pengetua PSB, Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong dan Setiausaha Kehormat, Profesor Dr Haji Awang Asbol bin Haji Mail.

    Haji Mohd Rozan seterusnya berkata, penerbitan buku berkenaan ditaja oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan mengandungi 18 buah makalah yang disumbangkan oleh penulis tanah air dan luar negara termasuk golongan belia di negara ini di mana ia meliputi pelbagai topik termasuk pendidikan, perumahan, Melayu Islam Beraja (MIB) dan kesihatan.

    Haji Mohd Rozan (tengah), Dr Haji Muhammad Hadi (dua dari kiri) dan Profesor Dr Haji Awang Asbol (satu dari kiri) semasa sidang media di PSB, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.

    “Golongan belia wajar didorong dan diberikan galakan dalam melakukan penyelidikan dan penulisan sejarah tanah air,” tekan beliau.

    Tambahnya, “Mereka sebagai pewaris negara dan aset bangsa penting sebagai golongan pelapis kepada generasi terdahulu untuk meneruskan penyelidikan dan penulisan sejarah negara kita cintai, agar tidak hilang dan pupus ditelan perubahan zaman.”

    Haji Mohd Rozan juga menerangkan penerbitan buku dihasratkan akan dapat menggalakkan kegiatan penyelidikan, kajian, penulisan dan penerbitan sejarah Brunei
    yang masih belum diterokai sepenuhnya oleh anak-anak tempatan terutama dalam tempoh 56 tahun Baginda memerintah negara.

    “Penerbitan buku ini bukan sahaja menambah lagi khazanah lumih-lumih kajian sejarah dan sosiobudaya negara kitani yang tercinta tetapi juga sebagai satu daya pendorong kepada meningkatkan kajian-kajian tentang sejarah dan sosiobudaya Negara Brunei Darussalam,” ujarnya lagi.

    Sementara itu, Dr Haji Muhammad Hadi semasa sidang media berkenaan berkata, PSB sentiasa bekerjasama dan mendukung aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh PESEBAR dalam usahanya memartabatkan serta memperkayakan sejarah kesultanan Brunei.

    Beliau berkata lagi, menerusi usaha itu, mereka dapat memelihara warisan sejarah Brunei di mana apa jua peristiwa-peristiwa yang berlaku di negara ini dapat diketahui oleh bangsa Brunei khususnya pewaris negara supaya dapat mengukuhkan semangat, ke sedaran dan ketaatan kepada raja dan negara serta sebagai identiti jati diri sebuah negara MIB.

    Haji Mohd Rozan turut berkata bahawa pada 11 Ogos nanti, Majlis Mesyuarat Agung PESEBAR ke-9 juga akan diadakan di mana ia bermatlamat untuk melantik ahli-ahli jawatankuasa eksekutif baharu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda