Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Pada masa ini, kira-kira 2,600 orang pelajar berkeperluan khas sedang mengikuti pembelajaran dalam persekitaran pendidikan inklusif di sekolah-sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi kerajaan dan swasta.
Pelajar berkeperluan khas berkenaan adalah daripada pelbagai kategori keperluan khas seperti keperluan khas pembelajaran, keperluan khas sensori iaitu pendengaran dan penglihatan, keperluan khas fizikal, keperluan khas pertuturan dan komunikasi, keperluan khas emosi dan tingkah laku serta keperluan khas kesihatan yang lain.
Jabatan Pendidikan Khas (JPKhas) akan terus berusaha mempromosi, melaksana dan memantau Program Pendidikan Khas dengan kerjasama pihak sekolah, ibu bapa dan penjaga serta pihak berkepentingan yang lain.
Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Ketua JPKhas, Awang Eddy Fazlin bin Haji Amdan dalam kata alu-aluannya pada Majlis Pelancaran Buku Rangka Kerja Pendidikan Khas, Buku Kurikulum Pendidikan Khas dan Risalah Pendidikan Khas serta Penyampaian Sijil Kursus Pengenalan Pendidikan Khas 2022 yang berlangsung di Dewan Utama, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Bangunan Baharu Kementerian Pendidikan, hari ini.
Hadir menyempurnakan pelancaran dan penyampaian sijil ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.
Awang Eddy Fazlin menambah bahawa usaha itu adalah selaras dengan visi dan misi Kementerian Pendidikan melalui prinsip APA (Akses, Penyertaan, Pencapaian) dan 5A (Akses, Kurikulum Disesuaikan, Arahan Disesuaikan, Penilaian Disesuaikan, Penerimaan).
“Oleh itu, pelbagai usaha giat dijalankan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tenaga profesional dan guru dalam usaha berterusan merealisasi pelaksanaan Sistem Pendidikan Negara Abad 21 dan untuk mendapatkan kesan pendidikan holistik secara maksimum kepada semua pelajar termasuk pelajar berkeperluan khas.”
Ke arah itu, Awang Eddy Fazlin berkata, jabatannya telah mengorak langkah dengan menghasilkan beberapa bahan rujukan kepada pihak berkepentingan merangkumi bidang pentadbiran, pengurusan, kurikulum, penempatan dan keperluan pelajar berkeperluan khas.
Majlis kemudian menyaksikan pelancaran buku rangka kerja, buku panduan dan risalah yang disempurnakan oleh Awang Aliuddin dan diteruskan dengan penyerahan buku serta risalah berkenaan kepada ketua-ketua jabatan dan pihak-pihak berkepentingan.
Buku ‘Rangka Kerja Pendidikan Khas’, ‘Rangka Kerja Kurikulum Pendidikan Khas’, Buku ‘Panduan Pendidikan Khas‘ untuk ibu bapa dan guru serta pelbagai risalah menggambarkan strategi berkaitan dengan amalan-amalan inklusif di sekolah.
‘Rangka Kerja Pendidikan Khas’ telah diterbitkan pada 2022 dan merupakan dokumen tambahan kepada ‘Garis Panduan Dasar Pendidikan Khas edisi 1997’ yang diterbitkan untuk pendidikan berkualiti inklusif dan saksama khusus bagi pelajar-pelajar berkeperluan khas.
‘Rangka Kerja Pendidikan Khas’ dan penerbitan lain juga bertujuan sebagai rujukan para pendidik dan masyarakat dalam mendapatkan sokongan dan perkhidmatan berkenaan de ngan buku-buku penerbitan telah diedarkan semasa acara itu serta salinan digital boleh dimuat turun melalui laman sesawang Kementerian Pendidikan.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada seramai 34 orang guru peserta Kursus Pengenalan Pendidikan Khas yang terdiri daripada lapan orang guru sekolah rendah kerajaan dan 26 orang guru sekolah swasta.
Guru-guru berkenaan juga dilantik secara rasmi sebagai Special Education Needs Support Educator (SENSE) di sekolah masing-masing. Kursus Pengenalan Pendidikan Khas yang telah diadakan pada Julai hingga Oktober 2022 bertujuan untuk menyampaikan pengetahuan dan kemahiran asas yang akan membantu pengajaran dan pembelajaran pelajar-pelajar berkeperluan khas, di samping memastikan guru mempunyai kompetensi, kefahaman, pengetahuan dan kemahiran untuk memudahkan perkembangan dan pelaksanaan pendidikan inklusif di sekolah masing-masing.