WASHINGTON, 23 OKT – Naskhah William Shakespeare Life of King Henry the Fifth dikembalikan ke Perpustakaan Awam New Jersey selepas 101 tahun dipinjam.
Menurut laporan United Press International (UPI), pegawai di Perpustakaan Awam Paterson berkata Cynthia Delhaie menemukan buku itu ketika mengemas barangan milik arwah neneknya, Arlene Delhaie dan menyedari bahawa buku itu dipinjam pada 1923.
Delhaie kemudian menghubungi perpustakaan dan membuat persiapan untuk memulangkan buku itu.
“Ini kali pertama saya menemui situasi seperti ini sejak lebih 20 tahun bekerja.
“Tidak pernah terlambat untuk memulangkan bahan perpustakaan,” kata Corey Fleming, Pengarah Perpustakaan Awam Paterson kepada TAPinto Paterson.
Pustakawan menyatakan naskhah cetakan 1910 itu mempunyai edisi terhad dan amat dihargai oleh pengumpul buku.
Namun, buku ini tidak terlalu lewat jika dibandingkan dengan satu lagi buku yang dipulangkan ke Perpustakaan Poudre di Colorado awal tahun ini.
Pegawai mendedahkan bahawa naskhah Ivanhoe oleh Sir Walter Scott dikembalikan 105 tahun selepas tarikh pemulangannya: 13 Februari 1919. – Bernama