Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Animasi rimba didik kanak-kanak tentang hidupan liar

    KUALA LUMPUR, 28  OGOS – Dua orang ibu dari Malaysia mengubah kisah dongeng tentang tapir, penyu dan lutong bercelak yang dibacakan kepada anak-anak mereka sebelum tidur, menjadi sebuah siri animasi, sekali gus memberi suara kepada antara hidupan liar paling terancam di negara ini.

    Abyan Junus-Nishizawa dan Farah Landemaine, tenaga kreatif di belakang buku cerita popular Anak Rimba, memulakan naratif baharu sebagai penerbit dengan matlamat berkongsi keajaiban dunia hidupan liar Malaysia dengan audiens global menerusi animasi.

    Peralihan daripada buku ke animasi bukan sahaja mengujakan, malah cukup mencabar apabila projek yang pada awalnya digerakkan oleh hanya tiga orang berkembang menjadi sebuah pasukan produksi seramai 50 orang, dengan melibatkan juruanimasi, pelakon suara dan pereka bunyi bergabung tenaga untuk menghidupkan watak-watak tersebut dalam tempoh 18 bulan.

    “Menulis buku dan menghasilkan animasi ibarat langit dengan bumi kerana animasi perlukan skrip berbeza, pasukan produksi dan satu proses baharu”.

    Abyan Junus-Nishizawa dan Farah Landemaine dengan Buku The Rimba & Friends. – BERNAMA

    “Kami bermula dengan tiga orang tetapi tiba-tiba menguruskan 50 orang, memaksa kami belajar dengan cepat,” kata mereka kepada Bernama ketika ditemui pada tayangan khas The Rimba and Friends, siri animasi yang diadaptasi daripada buku mereka. 

    Didorong oleh peminat yang mahukan mereka meneroka platfrom digital dan memohon geran daripada pihak berwajib, kedua-duanya mendapat bimbingan pakar industri melalui sokongan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang membantu mereka beralih daripada penulis buku cerita kanak-kanak kepada penerbit animasi.

    Buku Anak Rimba direka untuk membantu kanak-kanak memahami dan menghargai hidupan liar tempatan dan setiap kisah menampilkan haiwan seperti tapir, burung enggang, penyu serta lutong bercelak yang digandingkan dengan ilustrasi menarik dan fakta ringkas, sesuai untuk dibacakan sebelum tidur.

    “Buku kami ditulis untuk kanak-kanak seronok membaca sambil belajar benda baharu tentang haiwan yang ada di sekeliling kita. Kami namakannya aktivisme ceria, iaitu mengajar kanak-kanak tentang pemuliharaan tanpa rasa takut dan dengan cara positif,” jelas Abyan. 

    Menyedari wujudnya jurang besar dalam program kanak-kanak yang menekankan alam semula jadi dan kelestarian, para pencipta ini bertekad menghasilkan kandungan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga penuh nilai pendidikan.

    Hasilnya ialah satu siri animasi 13 episod yang disiarkan secara eksklusif di Durioo+ bermula 13 Sept ini, menyaksikan watak Timo si tapir, Ronda (badak Sumatera) serta Teega (harimau Malaya) dihidupkan di skrin dengan kanak-kanak turut diperkenalkan kepada fakta sebenar dan kerjaya menarik seperti ahli biologi marin atau pembuat filem hidupan liar, bagi mencetuskan minat baharu.

    “Dalam buku, satu kisah satu haiwan, namun dalam siri ini kami bawakan lima watak sekali gus,” kata Farah.

    Beliau seterusnya menambah projek itu juga menerima sokongan daripada persatuan pemuliharaan seperti Sea Turtle Research Unit (SEATRU), The Habitat Foundation dan Jane Goodall Institut dengan sebahagian daripada hasil jualan buku turut disumbangkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) terbabit bagi menyokong aktiviti mereka di akar umbi.

    Bagi kedua-dua penglipur lara yang beralih menjadi penerbit ini, matlamat mereka bukan sekadar memberi hiburan tetapi memupuk rasa bangga akan keunikan biodiversiti Asia Tenggara dan meletakkan hidupan liar serantau di pentas global. 

    “Jika panda boleh jadi ikon, kenapa tidak tapir? Kami mahu anak-anak kami berasa bangga dengan hidupan liar di negara kita selain mahu dunia juga mengenali haiwan-haiwan ini,” kata mereka. 

    Sekalipun ketiadaan pengalaman dalam bidang penerbitan, kedua-dua wanita ini mengetepikan rasa sangsi dan sebaliknya bergantung penuh pada mentor mereka dari segi ilmu teknikal sambil menyumbang kepakaran dalam penceritaan, menghasilkan gandingan serasi. 

    Bagi meningkatkan fleksibiliti dan capaian, siri itu dihasilkan dalam format dua dan tiga dimensi yang turut membolehkan NGO dan pendidik mengadaptasi kandungan dalam kempen pemuliharaan serta digunakan di dalam bilik darjah, sementara produk seperti anak patung setiap watak yang dijual dapat menyebar luas kempen kesedaran.

    Selesai urusan siaran tempatan, Abyan dan Farah sedang melakukan persiapan menjual siri mereka itu kepada pembeli antarabangsa di Sidang Kemuncak Kandungan Digital ASEAN di Johor tidak lama lagi. 

    Bagaimanapun kedua-duanya percaya perubahan sebenar harus bermula di rumah dengan mendidik dan memberi inspirasi kepada kanak-kanak di negara ini terlebih dahulu. – BERNAMA

    Farah Landemaine. – BERNAMA
    Abyan Junus-Nishizawa. – BERNAMA
    Penulis Buku Anak Rimba dan penerbit Animasi Anak Rimba, semasa sesi temu bual bersama Bernama sempena tayangan khas The Rimba and Friends. – BERNAMA

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda