Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Dalam usaha meningkatkan kesedaran dan penghayatan seluruh lapisan masyarakat terhadap Bahasa Melayu yang diakui mampu membina peradaban dan ketamadunan bangsa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan Majlis Sambutan Bulan Bahasa 2021 di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.
Pelancaran sambutan tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab dalam ucapan alu-alunnya menjelaskan bahawa nilai kesedaran dan penghayatan Bahasa Melayu sangat penting bagi meningkatkan rasa keakuan dan kepemilikan terhadap Bahasa Melayu.
Perhimpunan secara menyeluruh di keempat-empat daerah ini, jelasnya, menunjukkan bukti akan komitmen yang cukup mendalam terhadap daya upaya untuk memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
Dalam pengupayaannya memartabatkan Bahasa Melayu, tambahnya, DBP dari tahun ke tahun secara berterusan melipatgandakan usaha terutamanya daripada segi meningkatkan dan mempelbagaikan lagi inisiatif serta kegiatan yang melibatkan keikutsertaan semua peringkat usia, iaitu daripada peringkat kanak-kanak hingga peringkat dewasa.

Sepanjang Bulan Bahasa ini, DBP telah menyediakan dan merangka pelbagai kegiatan yang menunjang dan mendukung kepada pemerkasaan Bahasa Melayu sejajar dengan tema Bulan Bahasa yang diangkat pada tahun ini, iaitu ‘Memperkasakan Bahasa Melayu’.
Turut hadir ialah ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Bulan Bahasa 2021, ahli Majlis Mesyuarat Negara, ahli Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu Brunei Darussalam (JKTBMBD), penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara, mantan pengarah dan timbalan pengarah DBP, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, para penulis serta para pencinta bahasa dan sastera.
Dengan tema ‘Memperkasakan Bahasa Melayu’ Majlis Sambutan Bulan Bahasa 2021 itu dimeriahkan dengan irama tambang Syair Begawan berjudul ‘Syair Ristaan Dewan Bahasa dan Pustaka’ hasil nukilan Haji Kiflee Tarsat pada 2007, yang disampaikan oleh Dayang Halimatus Rabeatul Saiedah binti Huzaimi.
Seterusnya, bacaan Ikrar Bahasa oleh duta bahasa, peserta pidato kebangsaan dan wakil institusi pengajian tinggi, pegawai dan kakitangan DBP yang diketuai oleh penerima Anugerah Duta Bahasa 2015, Awang Mohd Zefri Ariff bin Mohd Zain Ariff.
Bacaan ikrar itu turut ditayangkan secara langsung melalui media sosial DBP (Instagram dan Facebook) bagi tujuan menggema dan menyemarakkan Sambutan Bulan Bahasa 2021.
Antara institusi kerajaan yang turut membaca Ikrar Bahasa secara langsung ialah Institut Perkhidmatan Awam, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Jabatan Penerangan Cawangan Daerah Temburong, Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE) Bandar Seri Begawan, JPE Belait, JPE Seria, Universiti Brunei Darussalam, Universiti Teknologi Brunei dan Pusat Evolusi Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Penanjong Garison selain Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah, Ma’had Islam Brunei, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Sekolah Arab Temburong, Sekolah Arab Belait dan sembilan buah perpustakaan DBP di seluruh negara.
Hadir bagi sama-sama mengetuai bacaan Ikrar Bahasa di Perpustakaan DBP Temburong ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.
Manakala itu, mengetuai bacaan ikrar di Perpustakaan DBP Tutong ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah dan Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Hajah Saidah binti Haji Wahid @ Burut mengetuai bacaan di Perpustakaan DBP Pandan, Daerah Belait.
Majlis turut menyaksikan forum Bahasa Melayu dan penyampaian hadiah kepada pelajar cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi peperiksaan peringkat ‘O’ dan ‘A’ bagi 2020 yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Turut diadakan adalah deklamasi sajak berjudul ‘Balada Bahasa Bangsaku’ karya Panji Lara yang disampaikan sendiri oleh Awangku Mohammad Noor Sham @ Awangku Hidie bin Pengiran Hidup, ahli Kumpulan Putra Seni (KPS) yang bergiat aktif dalam pementasan drama.