Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bulan melawat Kadamaian tingkat ekonomi penduduk

    KOTA KINABALU, 2 April – Program Bulan Melawat Kadamaian memberi manfaat besar dalam meningkatkan ekonomi penduduk setempat serta menjaga kekayaan khazanah alam semulajadi di kawasan berkenaan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

    Beliau berkata menerusi program itu, komuniti setempat mempunyai platform untuk membantu mempromosi Kadamaian yang terletak di kaki Gunung Kinabalu, sebagai satu daripada destinasi eko pelancongan yang terkenal di Malaysia.

    “Program Bulan Melawat Kedamaian merupakan usaha murni yang bakal melonjakkan sektor pelancongan luar bandar ke tahap lebih baik. Kadamaian memiliki tarikan tersendiri yang boleh dijadikan produk pelancongan.

    “Antaranya ekopelancongan tagal Kampung Talungan yang setakat ini menerima kunjungan lebih 21,000 pelancong, Bukit Menunggui, bukit Bongol dan Kadamaian Ulu menyediakan kemudahan inap desa,” katanya ketika merasmikan pelancaran Bulan Melawat Kadamaian 2017, di Kampung Tambulion, dekat sini, hari ini. Salleh berkata sambutan yang amat menggalakan daripada pelbagai lapisan masyarakat terhadap program berkenaan merupakan petanda baik bagi pembangunan industri pelancongan di Sabah.

    “Kerajaan sentiasa mengalu-alukan kerjasama dan sokongan padu semua demi pembangunan dan peningkatan ekonomi negeri Sabah. Sehubungan itu, saya menyeru semua masyarakat untuk sama-sama berusaha menarik pelancong dari dalam dan luar negeri untuk datang ke Sabah, terutama ke daerah Kota Belud,” katanya.

    Kumpulan Eko Pelancongan, Tizzelyn, Aisya (kiri) Nabella dan Tasyah menyambut ketibaan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak bagi melancarkan Tahun Melawat Kadamaian 2017. – Bernama
    Kumpulan Eko Pelancongan, Tizzelyn, Aisya (kiri) Nabella dan Tasyah menyambut ketibaan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak bagi melancarkan Tahun Melawat Kadamaian 2017. – Bernama

    Salleh berkata kerajaan Sabah menerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) juga akan meneruskan usaha untuk menggalakkan masyarakat menganjurkan aktiviti yang kreatif dan inovatif, yang dapat menarik ramai pelancong.

    “Kerajaan juga bersedia menerima sebarang idea dan pandangan daripada masyarakat yang ingin bersama-sama memajukan ekonomi Sabah, khususnya dalam bidang pelancongan,” katanya.

    Salleh berkata kementeriannya juga sentiasa berusaha menambah baik prasarana seperti mempertingkatkan talian kepada 3G dan 4G di seluruh kawasan Kota Belud.

    “Oleh itu saya berharap masyarakat di Kota Belud khususnya mengambil inisiatif menggunakan kemudahan Internet untuk mempromosi pelancongan yang ada di daerah ini, khususnya di kawasan Kadamaian,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda