Saturday, January 18, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bulan oh bulan, penghibur di kala bosan

    Oleh Raz AS

    Ikan bulan atau dikenali di negara kita sebagai bulan-bulan dan tarpon dalam bahasa Inggerisnya merupakan spesies ikan daripada keluarga megalopidae, yang menghuni perairan air masin dan air tawar di kawasan tropika dan subtropika.

    Ikan berwarna keperak-perakan, hijau di bahagian atas dan mempunyai mulut yang besar ini secara umumnya terbahagi kepada dua genus. Megalops atlanticus atau juga dikenali sebagai ikan bulan atlantik boleh ditemui di kawasan pantai barat dan timur Atlantik seperti dari Senegal hingga ke Congo dan teluk Mexico, Florida, Bermuda sehinggalah ke selatan Argentina.

    Manakala genus yang satu lagi, megalops cyprinoides atau juga dikenali sebagai ikan bulan indo-pasifik, taburannya adalah dari perairan timur Afrika, Semenanjung Arab, Asia Selatan, selatan Jepun, seluruh Asia Tenggara sehinggalah ke Australia.

    Tiada perbezaan yang ketara di antara ikan bulan atlantik dan ikan bulan indo-pasifik dalam bentuk fizikalnya melainkan daripada saiznya sahaja.

    Ikan bulan atlantik telah direkodkan boleh membesar sehingga 2.5 meter atau 8 kaki 2inci panjang dan mempunyai berat kira-kira 161 kilogram atau 355lb. Sedangkan ikan bulan indo-pasifik pula, telah direkodkan hanya boleh membesar sehingga 50cm di perairan air tawar dan 1 meter maksimum di perairan air masin.

    Ikan bulan berwarna keperak-perakan, hijau di bahagian atas dan mempunyai mulut yang besar.
    Ikan bulan akan melompat-lompat keluar dari air dalam cubaannya untuk melepaskan diri dan menyebabkan ramai kaki pancing berputih mata.

    Ikan yang boleh hidup sehingga selama 44 tahun ini adalah pemangsa yang bersifat oportunis. Ia boleh mengisikan oksigen ke dalam kelenjar renangnya dengan menghirup udara di permukaan dan mengambil kesempatan untuk menyerang mangsanya ketika kandungan oksigen dalam air menjadi rendah. Sumber diet utama ikan bulan adalah ikan-ikan kecil dan juga krustasea.

    Ikan bulan indo-pasifik akan berhijrah dari laut ke sungai untuk membesar. Ikan bulan yang bersaiz juvenil akan menetap di kawasan sungai-sungai dan mula berhijrah ke kawasan muara dan laut setelah berusia matang dan seterusnya membiak di sana.

    Ikan bulan atlantik dianggap sebagai salah satu spesies gamefish air masin yang hebat, bukan sahaja kerana saiznya yang besar bahkan juga kerana semangat juangnya yang tinggi ketika pertarungan. Untuk melepaskan dirinya daripada mata pancing, ikan ini akan melompat-lompat keluar dari air, lompatan akrobatiknya yang tidak kunjung sudah itu telah menyebabkan ramai kaki pancing berputih mata.

    Bagi ikan bulan indo-pasifik yang jauh lebih kecil pula, lebih-lebih lagi di negara ini yang kebanyakannya mempunyai kepanjangan 1 kaki hingga 1 kaki setengah, lebih seronok diburu menggunakan set pancingan ultralight.

    Ikan bulan secara umumnya dianggap sebagai ikan yang tidak mempunyai nilai komersial yang tinggi dan kurang berharga di pasaran antarabangsa dan tempatan. Oleh itu ia tidak diternak, dikomersialkan dan tidak ditangkap oleh nelayan di mana-mana negara termasuk di negara ini. Kaki pancing pula hanya memburu ikan ini sekadar untuk keseronokan dan sebagai sukan memancing.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda