SINGAPURA, 13 APRIL – Bulan purnama bagi bulan April yang muncul di langit semalam, menarik perhatian ramai peminat cakrawala di Singapura, yang tidak melepaskan peluang merakam gambar fenomena itu dan berkongsi imej mereka di media sosial.
Menariknya, bulan purnama kali ini juga dikenali sebagai micromoon istilah yang digunakan apabila bulan berada hampir atau di titik paling jauh dari Bumi dalam orbit elipsnya, menjadikannya kelihatan lebih kecil dan kurang terang berbanding kebiasaan.
Walaupun digelar Pink Moon (Bulan Merah Jambu), bulan ini sebenarnya tidak berwarna merah jambu. Nama tersebut diambil sempena bunga liar bernama Phlox subulata, atau moss pink, yang biasanya mekar pada musim bunga.
Bulan purnama ini juga dikenali sebagai Paschal Moon, iaitu bulan purnama yang digunakan sebagai rujukan untuk menentukan tarikh sambutan Easter dalam kalendar Kristian.
Di kumpulan Facebook CloudSpotting and SkySpotting Singapore, sebuah komuniti peminat cakrawala di Singapura yang gemar berkongsi gambar fenomena cuaca, peristiwa astronomi, dan keindahan langit, ahli-ahlinya memuat naik pelbagai gambar bulan purnama yang diambil dari sekitar pulau.

Lester Neo berkongsi beberapa gambar bulan purnama, termasuk satu imej yang memaparkan bulan dengan tona kemerahan.
Sementara itu, Ong Poh Kwan memuat naik gambar bulan yang sedang terbit di atas kawasan perumahan HDB, sambil menegaskan dalam kapsyen bahawa bulan tersebut sebenarnya tidak berwarna merah jambu.
Yeo Mun Teck pula berkongsi gambar dengan sentuhan lebih santai, membandingkan bentuk bulat kecil bulan itu dengan kepala anak patung beruang.
Ahli Persatuan Astronomi Singapura iaitu Albert Lim, Tan Bee Ping dan Hai Shu turut berkongsi gambar bulan yang kelihatan di celah awan, pokok dan bangunan, memberikan sentuhan pemandangan tempatan kepada fenomena ini.
Bagi mereka yang terlepas menyaksikan Pink Moon kali ini, fenomena micromoon seterusnya dijangka akan berlaku pada 13 Mei, menurut laman web timeanddate.com. – ANN/The Star