Monday, December 2, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bulan Ramadan buka pintu rezeki

    Oleh Nurdiyanah R. & Daniel Lim –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Bulan suci Ramadan bukan sahaja menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda bagi setiap amal ibadat yang dilakukan, malah membukakan pintu rezeki seluas-luasnya kepada mereka yang ingin mencari lubuk rezeki berganda khususnya bagi para peniaga dan penjaja.

    Setiap kali datangnya bulan mulia ini, gerai-gerai Ramadan yang menjual pelbagai juadah berbuka puasa tumbuh bak cendawan selepas hujan dan akan menjadi tumpuan orang ramai untuk sama-sama memenuhi ‘liur’ juadah bersungkai masing-masing.

    Sehubungan itu, Media Permata berkesempatan meninjau salah sebuah satu gerai Ramadan yang tidak asing lagi di Daerah Brunei dan Muara iaitu Gerai Ramadan Belia Stadium Negara Hassanal Bolkiah di mana kelihatan ramai orang membeli juadah berbuka untuk dinikmati bersama ahli keluarga tersayang.

    Menurut penganjur gerai Ramadan berkenaan yang diwakili oleh Eksekutif Jualan dan Pemasaran Rosnah Yusof and Sons Entertainment, Dayang Asya Fifah Khairunisa binti Ashari, sebanyak 246 vendor yang terdiri daripada para peniaga atau penjaja gabungan dari keempat-empat daerah telah tampil mengetengahkan produk makanan dan minuman mereka.

    Tambahnya, dalam menyemarakkan gerai Ramadan di negara ini, apa yang diharapkan para peniaga atau penaja hendaklah sentiasa menjaga kebersihan dan kualiti makanan dan minuman demi menjamin kesejahteraan dan keselamatan bersama.

    Dayang Asya semasa ditemui Media Permata di Gerai Ramadan Belia Stadium Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH: Bulan suci Ramadan membukakan pintu rezeki seluas-luasnya kepada para peniaga. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Pemandangan udara menunjukkan Gerai Ramadan di Tudong Saji, Kuala Belait. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan juadah berbuka puasa di Gerai Ramadan di Tudong Saji, Kuala Belait. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan pihak penganjur turut menyediakan kemudahan bagi keselesaan bersama antara penjaja mahu pun orang ramai yang berkunjung ke gerai Ramadan berkenaan antaranya menubuhkan perkhemahan sementara untuk surau lelaki dan perempuan.

    Selain itu, penyediaan kerusi dan meja untuk membolehkan orang ramai menikmati juadah bersungkai; dan tidak ketinggalan penyediaan tong-tong sampah berkonsepkan Recycle, Reduce dan Reuse (3R) di setiap penjuru kawasan gerai tersebut.

    Di kesempatan itu, Dayang Asya turut menekankan agar para peniaga atau penjaja terus memainkan peranan untuk tidak menyediakan beg plastik dan begitu juga orang ramai untuk membawa beg kitar semula masing-masing demi sama-sama menyokong usaha pihak Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Big BWN Project dan Zero Waste Brunei menerusi Kempen Melaratkan Inisiatif Setiap Hari Tanpa Beg Plastik (NPBE+) di sepanjang bulan Ramadan di gerai tersebut.

    Sementara itu di Daerah Belait, Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria menyatakan sebanyak 184 gerai Ramadan dibuka bermula hari ini.

    Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, gerai Ramadan di daerah berkenaan dipecahkan kepada dua zon iaitu di kawasan sekitar Tudong Saji, Kuala Belait sebanyak 174 gerai, dan 10 gerai di Pasarneka Seria di Jalan Lorong Tiga Selatan Seria.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda