Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bulan Ramadan bulan tarbiah

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Bulan Ramadan kini menghampiri ke penghujungnya setelah hampir sebulan kita menjalani ibadah pada bulan yang penuh berkat dan rahmat dengan pelbagai amal ibadat khususnya kewajipan puasa, membaca Al-Quran, zikir, infak harta sama ada sedekah atau zakat, melazimi qiamullail dengan melaksanakan sembahyang Sunat Tarawih, Witir dan sembahyang-sembahyang sunat yang lain dan kesemuanya dilaksanakan dalam menyahut dan menjunjung seruan perintah Allah SWT.

    Bulan Ramadan sebagai bulan tarbiah telah mengajarkan kita sifat ketekunan dan ketelitian dalam beribadat sama ada secara zahir atau batin. Puasa yang dijalani hakikatnya bukan hanya sekadar menahan lapar dan dahaga, akan tetapi puasa itu juga menahan hati daripada sifat-sifat buruk dan anggota badan daripada perbuatan maksiat dan dosa.

    Perkara berkenaan antara yang dijelaskan oleh khatib semasa menyampaikan khutbah Jumaat berjudul Bulan Ramadan Bulan Tarbiah, hari ini.

    “Bulan Ramadan telah mengajar kita sifat-sifat kehambaan yang terpuji seperti tawaduk, khusyuk dan ikhlas, beramal ibadat hanya dengan keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT, bukan dengan tujuan yang lain seperti riyak atau seumpamanya,” tambah khatib.

    Khatib antaranya turut menjelaskan dengan berlalunya Ramadan dalam beberapa hari sahaja lagi, marilah sama-sama kita berazam untuk meneruskan amal ibadat pada bulan-bulan lain sebagaimana kita beribadat pada bulan Ramadan, dengan memperkemaskan ibadat yang wajib dan memperbanyakkan ibadat yang sunat.

    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    “Pada bulan Syawal yang bakal menjelang ini, kita teruskan melakukan ibadat sunat dengan melakukan puasa enam di mana pahalanya menyamai dengan puasa sepanjang tahun. Puasa enam ini boleh dilakukan secara berturut-turut atau berselang hari,” jelas khatib.

    Khatib turut menekankan pada penghujung Ramadan ini juga janganlah dilupakan kewajipan membayar zakat fitrah untuk diri sendiri dan juga orang-orang yang berada di bawah tanggungan kita.

    “Sesungguhnya mengeluarkan zakat itu adalah salah satu daripada Rukun Islam yang lima yang wajib kita tunaikan. Mengeluarkan zakat itu hukumnya wajib ke atas setiap orang Islam yang mencukupi syarat-syaratnya, sama ada zakat fitrah atau zakat harta,” jelasnya.

    Khatib juga antaranya mengongsikan di Negara Brunei Darussalam ini zakat fitrah boleh kita laksanakan melalui amil-amil yang dilantik oleh Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan juga pada masa ini kemudahan bagi orang ramai untuk membayar zakat dapat dibuat secara dalam talian melalui BIBD Quick Pay, TAIB, DST e-Zakat dan imagine i-Zakat Fitrah.

    Oleh itu, tidak ada alasan untuk tidak dapat melaksanakan kewajipan membayar zakat fitrah ini.

    “Dengan berlalunya bulan Ramadan bukan bererti apa yang kita lakukan pada bulan Ramadan ini turut berakhir dan terhenti. Semoga segala ibadat dan amal kebajikan yang kita lakukan diterima oleh Allah SWT, dan semoga sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini akan dipenuhi dengan rasa kesyukuran, kegembiraan, rahmat dan keredaan Allah SWT,” ujar khatib lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda