Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Fakulti Usuluddin mengadakan Program Dakwah melalui Tadabbur Al-Quran dan Al-Hadith di Jabatan-jabatan Kerajaan Negara Brunei Darussalam hari ini sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-41 (HK-41).
Program yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan itu telah dihadiri oleh pegawai dan kakitangan lelaki di kementerian berkenaan.
Pengisian program termasuk ceramah bertajuk Tadabbur Ramadan Al-Mubarak untuk Kehidupan yang disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor, Fakulti Usuluddin, KUPU SB, Dr Mikdar Rusdi.
Antara inti pati yang dapat diambil daripada ceramah tersebut ialah ibadah puasa pada bulan Ramadan merupakan satu peluang keemasan untuk setiap umat Islam meningkatkan ketakwaan diri, menambahkan kesyukuran atas nikmat yang diberikan dan berpeluang untuk mendapat keampunan daripada segala dosa yang telah dilakukan.
Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana berpeluang lagi pada tahun ini untuk bertemu bulan Ramadan, bulan penuh keberkatan, keampunan, kemuliaan dan penuh rahmat daripada Allah SWT.
Kedatangan Ramadan memang dinantikan oleh seluruh umat Islam kerana bulan ini menjanjikan peluang yang besar untuk seluruh umat Islam meningkatkan keimanan dan ketakwaan.
Antara lain objektif program dakwah tersebut adalah untuk memperluaskan sasaran dakwah ke seluruh negara termasuk kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan.
Selain itu, ia juga bertujuan mendedahkan pegawai, kakitangan dan juga masyarakat awam dengan tadabbur Al-Quran dan hadis sebagai rujukan kehidupan seharian.
Program berkenaan akan diteruskan pada Sabtu ini dengan pegawai dan kakitangan wanita kementerian tersebut, yang mana ia juga akan diadakan di tempat yang sama.