BEIJING, 19 Okt – China merancang untuk melancarkan ‘bulan tiruannya sendiri’ menjelang tahun 2020 untuk mengganti lampu jalan dan mengurangkan kos elektrik di kawasan bandar, lapor media negeri hari ini.
Chengdu, sebuah bandar di barat daya wilayah Sichuan, sedang menghasilkan ‘satelit pencahayaan’, yang akan bercahaya seiring dengan bulan sebenar, namun lapan kali lebih terang, menurut akhbar China Daily.
Bulan buatan manusia pertama akan dilancarkan dari Pusat Pelancaran Satelit Xi-chang di Sichuan, dengan tiga lagi menyusuli pada 2022 jika ujian pertama berjalan dengan lancar, menurut Wu Chunfeng, ketua Persatuan Bidang Sains Baru Tian Fu, pertubuhan yang bertanggungjawab dalam projek tersebut.
Walaupun pelancaran pertama adalah bersifat percubaan, satelit 2022 “akan menjadi urus janji sebenar dengan potensi komersial yang hebat,” kata beliau dalam satu temu bual dengan China Daily.
Dengan memantulkan cahaya daripada matahari, satelit itu boleh menggantikan lampu jalan di kawasan bandar, menjimatkan kira-kira 1.2 bilion yuan setahun dalam kos elektrik untuk Chengdu, jika bulan buatan manusia menerangi kawasan seluas 50 kilometer persegi.
Sumber cahaya ruang angkasa juga boleh membantu usaha menyelamat di zon bencana ketika bekalan elektrik terputus, tambah beliau.
AFP tidak dapat menghubungi Wu atau Persatuan Bidang Sains Baru Tian Fu untuk mengesahkan laporan berkenaan.
Tatkala program angkasa lepas China berlumba untuk menyaingi program Amerika Syarikat dan Rusia, beberapa projek besar telahpun dirancang, termasuk penjelajahan bulan Chang’e-4 – dinamakan sempena dewi bulan dalam mitologi China – yang berhasrat dilancarkan pada akhir tahun ini. Jika berjaya, ia akan menjadi kapal penjelajah pertama yang meninjau ‘bahagian bulan yang gelap’.
China bukan negara pertama yang cuba memancarkan cahaya matahari kembali ke Bumi. Pada tahun 1990, ahli sains Rusia dilaporkan menggunakan cermin besar untuk memantulkan cahaya dari angkasa lepas dalam satu projek uji kaji bernama Znamya atau Banner. – AFP