SOFIA, 1 APRIL – Bulgaria dan Romania menyertai kawasan pergerakan bebas terbesar Schengen di Eropah kelmarin, membuka perjalanan melalui udara dan laut tanpa pemeriksaan sempadan sejak penantian selama 13 tahun.
Veto oleh Austria bagaimanapun bermakna status baharu itu tidak akan digunakan untuk laluan darat, selepas Vienna menyatakan kebimbangan mengenai kemungkinan kemasukan pencari perlindungan.
Walaupun separa keahlian, peningkatan kawalan di sempadan udara dan laut kedua-dua buah negara mempunyai nilai simbolik yang penting.
“Saya kerap melakukan perjalanan dan ini benar-benar memudahkan urusan”, Kristina Markova, 35, berkata ketika dia bersiap untuk terbang keluar dari lapangan terbang Sofia kelmarin. “Kami sampai ke terminal dalam masa kurang tiga minit, termasuk pemeriksaan bagasi,” katanya. “Ia satu peningkatan yang ketara”.
Kemasukan ke Schengen adalah ‘kejayaan penting’ bagi Bulgaria dan Romania, melambangkan ‘persoalan maruah, menjadi sebahagian Kesatuan Eropah (EU),’ menurut penganalisis dasar luar, Stefan Popescu.
“Mana-mana warga Romania yang terpaksa berjalan di lorong berasingan daripada warga Eropah yang lain merasakan layanan yang berbeza,” katanya kepada AFP.
“Ini adalah kejayaan besar bagi kedua-dua buah negara, dan detik bersejarah bagi kawasan Schengen iaitu kawasan pergerakan bebas terbesar di dunia,” kata ketua EU, Ursula von der Leyen, dalam satu kenyataan Sabtu lalu. – AFP
