Tuesday, April 8, 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Buli, dera anggota bawahan: 41 pegawai dan anggota tentera diberhentikan

    PASIR MAS, 7 APRIL – Seramai 41 pegawai dan anggota tentera darat telah diberhentikan daripada perkhidmatan kerana terlibat dengan kes buli dan penderaan yang membabitkan anggota bawahan sejak tahun 2019, kata Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

    Beliau berkata mereka terdiri daripada 12 pegawai dan 29 anggota lain-lain pangkat.

    “Kita tidak akan kompromi langsung (dengan kes buli) sama ada melibatkan pegawai sendiri ataupun anggota-anggota bawahan,” katanya kepada pemberita meninjau ke kawasan Operasi Briged Kelapan (8 Briged) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pos Tok O, Rantau Panjang, di sini, hari ini.

    Beliau berkata kejadian buli atau penderaan merupakan satu pengkhianatan kepada pasukan, dan Tentera Darat Malaysia (TDM) tidak mengambil ringan berhubung perbuatan itu, malah menganggap setiap anggota bawahan sebagai saudara yang wajib dilindungi.

    “Insiden yang menimpa Prebet Muhammad Muqriz Aseri amat dikesali dan memberi kesan besar kepada institusi ketenteraan. Saya amat kesal dan bersedih dengan kejadian yang menimpa Allahyarham (Muhammad Muqriz). Ini satu-satunya kejadian yang benar-benar memberi kesan kepada TDM,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan Muhammad Muqriz, 21, dari Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD), Kem Sri Miri, Sarawak meninggal dunia pada 24 Mac akibat trauma tumpul pada dada.

    TDM dalam kenyataan mengesahkan telah menerima laporan insiden kematian anggotanya itu memaklumkan trauma tumpul pada dada merujuk kepada hentakan kuat di bahagian badan berkenaan menyebabkan kerosakan pada jantung. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda