Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Buli di sekolah bukan salah KL Gangster

    Pelakon popular, Datuk Aaron Aziz, 49, menafikan filem berunsur gangsterisme termasuk KL Gangster lakonannya menjadi punca utama peningkatan kes buli di sekolah.

    Aaron berkata, meskipun filem bergenre aksi itu mungkin memberi sedikit kesan, hakikatnya banyak lagi faktor lain yang mendorong gejala berkenaan.

    “Saya tidak nafikan filem gangster mungkin antara puncanya. Sewaktu KL Gangster ditayangkan, memang ada ibu bapa hubungi saya meminta menasihatkan anak mereka yang terpengaruh dengan babak aksi.

    “Saya nasihat mereka secara baik. Tapi sebenarnya, bukan filem semata-mata. Ada banyak lagi faktor lain termasuk YouTube dan media sosial. Semua ini bergantung pada cara penonton menilai,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen SocialCeleb di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), Bandar Utama, baru-baru ini.

    Berkongsi pengalaman peribadi, Aaron mendedahkan dia pernah membantu beberapa mangsa buli yang mengalami trauma emosi serius, termasuk ada yang sanggup membawa pisau ke sekolah kerana terlalu takut.

    Aaron menyangkal dakwaan filem berunsur gangsterisme menjadi punca utama peningkatan kes buli di sekolah. – mStar

    “Ada kes seorang remaja tidur bersama pisau kerana trauma. Ibu bapanya hubungi saya minta bantuan. Saya pergi jumpa dia, berborak dan cadangkan belajar Muay Thai.

    Alhamdulillah, sekarang dia lebih yakin dan tak lagi trauma.

    “Pernah terserempak dengan bapanya, dia ucap terima kasih kerana berjaya ubah sikap anaknya. Saya tak minta balasan, ini tanggungjawab sosial saya,” katanya.

    Aaron turut berkongsi, ada ketikanya dia sendiri ke sekolah mangsa untuk bersemuka dengan pihak guru yang didakwa lambat bertindak.

    “Saya kata mangsa itu anak buah saya, barulah pihak sekolah ambil tindakan. Kalau tidak, mereka ambil mudah,” katanya lagi.

    Dalam perkembangan lain, Aaron bakal tampil sebagai Star Mentor untuk platform pencarian bakat, SocialCeleb, yang boleh diakses bermula 9 September ini melalui aplikasi Lifetelco.

    Platform itu menjadi medium menghubungkan bakat baharu dengan mentor selebriti, sekali gus membuka peluang menyerlahkan kemampuan dalam bidang seni. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda