Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Buli IKBN Miri: Tujuh pelajar digantung pengajian seminggu

    PUTRAJAYA, 25 SEPT – Tujuh pelajar yang terlibat dalam kes buli seorang pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri, Sarawak digantung pengajian selama seminggu bermula semalam, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

    Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Lembaga Tatatertib Pelajar IKBN semalam yang diadakan bagi membincangkan tindakan sewajarnya terhadap semua pelajar berkenaan.

    “Jawatankuasa Lembaga Tatatertib Pelajar IKBN Miri sebulat suara membuat keputusan untuk mengenakan beberapa tindakan tatatertib lain kepada pelajar terlibat termasuk pemberian elaun diberhentikan serta-merta dan perlu melaksanakan kerja amal, lapor diri secara berkala dengan pegawai disiplin dan tahan outing untuk tempoh sebulan.

    “Pelajar terlibat dan mangsa perlu mengikuti sesi kaunseling yang diaturkan oleh IKBN Miri,” katanya pada sidang media berhubung siasatan kes buli IKBN Miri, hari ini.

    Menurut Hannah, langkah tegas itu diambil sebagai mesej jelas bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku termasuk buli yang menjejaskan keselamatan pelajar dan mencemarkan nama baik institusi pendidikan.

    Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi 13 saat tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan lelaki mengangkat seorang individu dalam keadaan terkangkang hingga terkena tiang.

    Susulan itu, semalam Hannah dilaporkan berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menghantar dua pegawai tertinggi termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Chan Hong Jin ke IKBN Miri bagi melakukan siasatan bebas antaranya menyoal siasat pelajar terlibat dalam kejadian tersebut.

    Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, Hannah berkata Unit Hal Ehwal Pelajar dan tenaga pengajar IKBN Miri akan mempertingkat pemantauan, mengatur sesi kaunseling dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Kesihatan (KKM) selain melaksanakan program pencegahan bersama pihak polis. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda