Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Buli: Kanak-kanak 9 tahun ditemui mati akibat bunuh diri

    SARREGUEMINES, 13 OKT – Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun ditemui mati di rumahnya di timur laut Perancis hujung minggu lalu, kata pihak pendakwa dan polis, dipercayai akibat membunuh diri selepas menjadi mangsa buli.

    Bekas Perdana Menteri Gabriel Attal hari ini menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa selepas mayat kanak-kanak itu ditemui pada Sabtu di bandar Sarreguemines.

    “Buli ialah satu wabak, racun perlahan yang menghakis keyakinan diri dan boleh membawa kepada tragedi terburuk,” tulis bekas menteri pendidikan itu di laman X. Beliau sebelum ini menubuhkan sebuah pertubuhan untuk memerangi gangguan dan buli di sekolah.

    Pihak berkuasa pendidikan wilayah berkata mereka ‘terkejut dengan tragedi ini’, manakala pejabat pendakwa raya memaklumkan siasatan sedang dijalankan.

    Menurut kenyataan, kematian itu “nampaknya merupakan tindakan sukarela oleh kanak-kanak tersebut”, namun tiada butiran lanjut diberikan.

    Sumber polis berkata mangsa meninggalkan sepucuk surat kepada keluarganya.

    Ibunya memberitahu bahawa rakan sekelas anaknya sering membulinya dengan memanggilnya gemuk, dan anaknya sebelum ini pernah menyebut tentang mahu membunuh diri, kata sumber berkenaan.

    Pada pagi hari ini, bunga ros putih diletakkan di pagar luar sekolah sebagai tanda penghormatan.

    Seorang individu yang rapat dengan keluarga mangsa, yang enggan dikenali, mendakwa pihak sekolah telah dimaklumkan mengenai kes buli itu.

    Abnor, rakan sekelas mangsa yang berusia sembilan tahun, berkata gadis itu sering dibuli dalam perjalanan pulang dari sekolah. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda