Sejujurnya, hati saya jadi berat setiap kali membaca berita tentang kes buli di sekolah.
Baru-baru ini, nama Zara Qairina jadi sebutan kerana keberaniannya mendedahkan apa yang berlaku. Saya cuba bayangkan, kalau saya berada di tempatnya, apakah saya mampu menanggung semua itu? Luka di badan mungkin boleh sembuh, tetapi trauma di hati, siapa yang tahu?
Kadang saya tertanya-tanya, kenapa sekolah yang sepatutnya jadi tempat belajar dan bermain, berubah jadi medan ketakutan? Buli bukan lagi sekadar ejek-ejekan kecil. Ada yang dipukul, dihina, malah dirakam dan disebarkan untuk dijadikan tontonan. Seolah-olah penderitaan orang lain itu hiburan.
Saya sendiri pernah nampak rakan dibuli dihalau dari meja, dicaci kerana rupanya. Ada juga yang dipaksa untuk berdiri di atas meja berjam-jam. Saya hanya mampu diam, jujurnya sebab takut. Takut kalau saya bersuara, saya pula jadi mangsa dan mungkin inilah yang berlaku kepada ramai pelajar lain, jadi saksi yang hanya mampu pandang tanpa berbuat apa-apa dan selalunya yang membuli adalah di kalangan penuntut senior.
Kes Zara Qairina seharusnya jadi wake up call. Kita inda boleh lagi anggap buli ani perkara biasa atau sekadar ‘budak-budak nakal’.

Realitinya, kesannya panjang, ada yang hilang keyakinan, ada yang trauma sampai dewasa, malah ada yang ambil keputusan paling tragis.
Saya cuma berharap, ibu bapa, guru, dan kita semua benar-benar peka. Jangan tunggu sampai ada nyawa melayang baru nak bertindak. Suara mangsa seperti Zara patut diberi perhatian, bukan dipandang remeh kerana bagi saya, buli bukan sekadar masalah disiplin tetapi ia adalah luka masyarakat yang perlu kita rawat bersama.
Iman
NASIHAT DANG MP
Terima kasih kepada Iman atas curahan yang dikongsi. Apa yang awda luahkan sangat menyentuh hati dan menunjukkan betapa relevan terhadap isu buli yang terjadi baru-baru ini di sekolah. Sememangnya isu ini dilihat semakin berleluasa dan menarik ramai perhatian dan perlukan tindakan segera.
Mangsa buli bukan sahaja mengalami kesan fizikal, tetapi kesan psikologi yang mendalam.
Ketakutan untuk bersuara itu juga bukan kelemahan, tetapi refleksi kepada realiti yang kompleks, di mana mangsa mahupun saksi sama-sama terperangkap dalam suasana yang tidak selamat.
Kes Zara Qairina memang membuka mata banyak pihak, dan keberaniannya patut dijadikan inspirasi, bukan hanya untuk mangsa, tetapi juga untuk kita sebagai masyarakat agar lebih berani dan tegas menolak budaya buli.
Sekolah seharusnya menjadi tempat selamat, dan apabila ia bertukar menjadi tempat yang menimbulkan trauma, itu menunjukkan petanda sistem pendidikan yang gagal dan harus diperbaiki segera. Tidak dapat dinafikan juga bahawa pihak-pihak berwajib mula mengemaskini dan memperbaiki sistem masing-masing dalam usaha membendung aktiviti buli dari terus bertambah.
Namun dari kesakitan ini, kesedaran boleh tumbuh. Awda tidak bersendirian dalam keresahan ini, dan suara seperti awda juga penting untuk mencetus perubahan.
Diharapkan melalui kesedaran isu ini, semakin banyak kes buli dapat dihalang dan dihentikan dan akhirnya mengembalikan sekolah kepada suasana yang selamat untuk para pelajar membina ilmu dan bukanlah tempat yang ditakuti.









