LONDON – Jenama mewah British, Burberry mempersembahkan koleksi busana pertamanya di bawah arahan Pengarah Kreatif baharu, Daniel Lee pada Minggu Fesyen London baru-baru ini – tanpa kot trenc warna kuning air yang menjadi pilihan.
Jenama warisan ini terkenal dengan kot trenc elegan dan berfungsi yang dicipta semasa Perang Dunia Pertama.
Namun, Lee yang menyertai Burberry pada bulan September, membawa pembaharuan dengan koleksi sulung yang menampilkan bulu tiruan dan bulu burung, baju-t slogan dan corak itik yang bermain-main.
Pereka fesyen British yang berusia 37 tahun ini dipuji kerana menghidupkan semula jenama mewah Itali, Bottega Veneta dengan aksesori yang sangat popular seperti kasut dan beg tangan sepanjang tempoh beliau bekerja di firma itu, dan ramai dalam industri fesyen ingin tahu sama ada beliau mampu melakukan keajaiban yang sama di Burberry.
Pada pertunjukan fesyen tersebut, corak petak-petak jenama muncul dalam warna ungu, hijau botol dan merah manggis dalam semua rekaannya, daripada sut lelaki hingga pakaian rajut, skirt, stoking dan skarf bulu.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/02/P17-Pic-1_25022023.jpg)
Lee nampaknya menekankan tema keselesaan ketika menghadapi cuaca Britain: Seorang model memakai selimut putih besar yang dihiasi dengan reka bentuk kuda warisan jenama itu, dan ramai model menggenggam botol air panas dengan corak petak-petak yang sepadan dengan pakaian mereka.
Topi bulu tiruan besar dan beg yang dihiasi dengan bulu dan bulu burung juga menjadi tumpuan utama.
Model lelaki memakai seluar longgar dipadankan dengan baju leher polo ketat, rantai dan aksesori perak, dipasang dengan palet merah dan hitam, membayangkan ciri-ciri estetik berinspirasikan punk.
Namun, terdapat juga sentuhan humor, seperti topi trapper bulu yang dihiasi dengan kepala itik yang dikait.
Pertunjukan tersebut telah menarik selebriti termasuk pengarah filem Baz Luhrmann, penyanyi rap Stormzy serta model Naomi Campbell dan Rosie Huntington-Whiteley.
Mengikut tradisi, Burberry merupakan tarikan terbesar di Minggu Fesyen London, yang juga menampilkan pertunjukan oleh pereka fesyen terkenal termasuk Christopher Kane, Erdem, Emilia Wickstead dan Roksanda Ilincic. – AP