ISTANBUL, 25 DIS – Mahkamah Turkiye hari ini menjatuhkan hukuman penjara lebih 18 tahun kepada pemilik dan arkitek sebuah hotel, Ahmet Bozkurt, selepas 72 orang terbunuh apabila bumbung hotel runtuh berikutan gempa bumi tahun lalu.
Mangsa yang maut termasuk 26 ahli pasukan bola tampar sekolah dari utara Cyprus. Hotel Grand Isias di Adıyaman runtuh selepas gempa pada Februari 2023 yang meragut 55,000 nyawa di Turkiye.
Mahkamah di Adıyaman menjatuhkan hukuman penjara ke atas Bozkurt kerana ‘menyebabkan kematian atau kecederaan lebih daripada seorang akibat kecuaian,’ lapor agensi berita rasmi Anadolu.
Sementara itu, anak lelakinya, Mehmet Fatih Bozkurt pula dijatuhi hukuman penjara 17 tahun dan empat bulan dan arkitek, Erdem Yilmaz, menerima hukuman penjara 18 tahun lima bulan atas tuduhan yang sama, tambah Anadolu.
Pasukan AFP melihat hotel itu musnah sepenuhnya.
Kerajaan wilayah mengisytiharkan mobilisasi nasional, mengupah pesawat persendirian untuk menyertai usaha mencari dan menyelamat ahli pasukan bola tampar berkenaan.
Perdana Menteri Cyprus-Turkiye, Unal Ustel berkata kepada pemberita selepas keputusan mahkamah bahawa hukuman itu terlalu ringan dan mereka akan membawa kes itu ke mahkamah tinggi.
“Pemilik hotel tidak mendapat hukuman yang kami jangkakan,” kata Ustel.
“Walaupun begitu, semua orang daripada mereka yang bertanggungjawab dalam pembinaan hotel sehingga arkitek telah dijatuhkan hukuman. Ia membuatkan kami berasa gembira sekurang-kurangnya,” tambahnya. – AFP