Bumbung teater Piccadilly runtuh

LONDON, 7 NOV – Bumbung panggung teater Piccadilly di London runtuh malam semalam, menimpa penonton ketika pementasan ‘Death Of A Salesman’ sedang berlangsung.

Susulan kejadian, auditorium ‘West End’ terpaksa dikosongkan hanya 20 minit selepas pementasan bermula, apabila serpihan siling jatuh menimpa penonton.

Beberapa penonton turut mengalami kecederaan akibat insiden dan saksi memberitahu, terdengar bunyi jeritan daripada pengunjung yang duduk di bahagian ‘Grand Circle’.

Polis Metropolitan memberitahu, lebih daripada 1,000 penonton terpaksa dipindahkan daripada lokasi acara terkenal London itu.

Perkhidmatan kecemasan dipanggil ke lokasi sejurus sebelum jam 8 malam waktu tempatan, sebaik sahaja runtuhan berkenaan berlaku.

Menurut Jabatan Polis Metropolitan, beberapa pengunjung mengalami kecederaan ringan dan diberi rawatan awal oleh petugas perkhidmatan kecemasan.

Pementasan karya Arthur Miller itu dibintangi Wendell Pierce, yang menjadi terkenal sebagai Detektif Bunk Moreland dalam The Wire, sebelum memainkan watak sebagai bapa kepada Meghan Markle, Robert Zane menerusi siri drama undang-undang, Suits.

Susulan kejadian, pementasan pada malam ini terpaksa dibatalkan bagi membolehkan pemeriksaan rapi dijalankan demi keselamatan pengunjung. – Agensi

Teater Piccadilly di London ketika ia dikosongkan apabila sebahagian daripada siling jatuh ke auditorium semasa pementasan drama ‘Death of a Salesman’ pada 6 November. – AP