Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bumbung terbang akibat ribut

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April 2003 – Hujan lebat disertai dengan ribut petir pada waktu petang mengakibatkan bencana ke atas penduduk kampung di sini.

    Bumbung rumah berterbangan, pokok dan tiang elektrik tumbang, manakala lalu lintas pula terhenti apabila ribut petir melanda Brunei secara tiba-tiba. Ribut itu berlaku lebih kurang satu jam.

    Di beberapa jalan di kampung itu, lalu lintas tidak bergerak apabila anggota bomba memotong pokok yang tumbang.

    Dalam satu kejadian, seramai 20 orang kehilangan tempat tinggal apabila kebanyakan bumbung rumah mereka diterbangkan angin kencang. Ini termasuklah dua buah keluarga lapan orang dan selebihnya merupakan penyewa bilik.

    Seorang lelaki yang tinggal di salah sebuah rumah itu menyatakan dia berada di luar rumah apabila ribut mula melanda.

    “Saya nampak angin berpusar sebelum menerbangkan bumbung rumah. Saya berlari ke sebuah rumah lain untuk berlindung. Sebuah kereta yang diletakkan di kawasan itu rosak akibat terkena bumbung yang diterbangkan angin itu, katanya.

    Tuan rumah menyatakan mereka perlu mencari tempat penginapan lain sehinggalah bumbung itu diperbaiki. Salah sebuah lagi keluarga yang menerima kesan ribut itu menyatakan mereka tidak ada tempat untuk menginap, manakala seorang lagi mangsa yang menyewa sebuah bilik, menjelaskan dia terpaksa tinggal dengan kawan-kawannya.

    Menurut salah seorang lagi mangsa, dia mendapati sekurang-kurangnya bumbung lima buah rumah penduduk kampung diterbangkan oleh ribut, selain turut merosakkan sebahagian daripada rumahnya.

    Manakala, hujan lebat membanjiri rumah-rumah mangsa setelah bumbung rumah mereka terbang.

    Sebahagian daripada bumbung yang terbang pula terkena kereta milik mangsa dan memecahkan cermin depan kereta. Kebanyakan rumah terbabit terputus bekalan elektrik kerana tiang elektrik yang tumbang menyebabkan beberapa rumah di kawasan itu bergelap.

    Pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Jabatan Perkhidmatan Elektrik kelihatan sibuk mengalihkan pokok-pokok yang tumbang dan memastikan bekalan elektrik pulih seperti sedia kala.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda