Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Model iPhone yang dinanti-nantikan kini ditawarkan dengan pakej menarik oleh DST pada majlis pelancaran Bundle Mobi bagi iPhone 16 dan iPhone 16 Pro yang berlangsung di Cawangan DST Airport Mall, hari ini.
Pelancaran itu menarik minat orang ramai yang sanggup beratur seawal pukul 6 pagi untuk menjadi pelanggan pertama memiliki model iPhone 16.
Pelancaran bundle berkenaan telah disempurnakan bersama oleh Ketua Pegawai Operasi DST, Ang Kian Han dan Timbalan Ketua Perbankan Runcit, Kumpulan BIBD, Awang Junaidi Bahrum yang turut menyaksikan penyerahan bundle iPhone kepada pelanggan-pelanggan.
Salah seorang pelanggan yang menerima bundle iPhone berkenaan iaitu Muhammad dalam temu bual ringkas bersama Media Permata menyatakan perasaan gembira kerana berjaya mendapatkan iPhone 16 terbaharu itu untuk temannya walaupun terpaksa beratur sebelum jam 6 pagi lagi.
Bundle Mobi Contract menawarkan para pelanggan akses kepada teknologi terkini Apple pada harga yang mampu milik.
Dalam kerjasama dengan BIBD, DST menawarkan promosi eksklusif kepada pemegang kad kredit BIBD di mana 100 pelanggan pertama yang menggunakan kad kredit BIBD untuk membuat pembayaran pendahuluan bagi mana-mana model iPhone 16 akan menerima rebat $50.
Terdahulu sebelum pelancaran iPhone 16, DST telah memperkenalkan Priority Pass di mana pelanggan boleh mendapatkannya dengan mudah melalui aplikasi MyDST.