KOTA KINABALU, 5 SEPT – Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini menafikan laporan bahawa kini beliau sedang sakit dan dirawat di hospital seperti gambar yang ditularkan di media sosial sejak semalam.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu telah mengesahkan sendiri mengenai keadaan kesihatannya menerusi kenyataan dengan memberitahu beliau sihat dan kini berada di Kuala Lumpur selepas menghadiri prosiding mahkamah pada Jumaat lepas.
“Kepada semua rakan-rakan dan juga musuh-musuh politik, jangan bimbang saya kekal di posisi yang tenang dan masih sihat dalam perlindungan Allah,” katanya.
Menurut Bung Moktar beliau akan bersama rakyat dan penyokong BN di Kota Belud pada 10 Oktober 2022 untuk melancarkan program Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kota Belud dan Tuaran.
Sementara itu, Setiausaha Akhbarnya Jaafar Abdul Wahid ketika dihubungi berkata sejak semalam beliau tidak henti-henti menerima panggilan dan Whats-App daripada beberapa pemimpin dan rakan-rakan bertanyakan khabar Bung Moktar. – Bernama
