Oleh Lara Hiba –
(Siri 1)
I
Entah mengapa terjadi begini hubungan kami. Sudah hampir enam bulan khabar Roze tidak ku peroleh. Panggilan handphone ku pun tidak dijawab. Teks yang ku kirim juga tidak masuk-masuk. Masih satu rait yang bererti line ku telah di blok.
“Dia sudah tidak mahu bercinta denganku” kataku dalam hati. “…mungkin Roze sudah bosan atau sudah punya kekasih baharu”. Kenangan ku menjalar mengingati cinta yang ku curah untuknya selama ini sia-sia belaka.
Saat itu aku masih ingat betul. Pertama kali bertemu Roze hati ku terus terpesona. Aku tidak tahu apakah Roze mempunyai perasaan yang sama juga dengan perasaan yang aku rasakan saat itu. Masa terus berlalu mengukir senyum dan tawa.
Pertemuan itu tidak disengajakan sama sekali. Ketika sambutan hari kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NBD) pada saat berteduh di bawah pohon kayu jati yang rendang di tepi jalan itu pertemuan itu berlaku. Aku melihat gadis itu sepintas lalu. Dia pula menjeling pada ku dan pada akhirnya mata kami bertentang.
Aku memberi senyuman kepadanya. Dia merenung aku dari jauh yang ternampak keraguan di wajahnya. Lepas tu baharulah dia membalas dengan senyumannya yang manis. Aku betul-betul terpesona dengan gadis itu. Aku memberanikan diri menghampirinya. Ia tersipu-sipu, malu menguasai dirinya. Aku jua begitu, tapi terpaksa jua ikut naluri di hati ku.


“Assalamualaikum…” tegurku.
“Waalaikumsalam…” jawabnya sambil mengukir senyum manisnya. Aku nampak pipinya kemerahan menahan rasa debar dan malunya.
“Seorang sajakah duduk di bawah pohon ni?” Tanyaku lagi. Dia merenung mukaku dan pandangan kami bertembung seketika.
“Awak lihatlah sama siapa aku di sini,” jawabnya mengusik sambil senyum lagi.
“Ramai juga yang ikut berteduh di sini…mereka semua kawan awakkah?” jawabku sambil jariku menunjuk ke arah orang ramai di sekitarnya.
“Tidaklah…mereka bukan kawanku…cuma sama-sama berteduh dari panas tengah hari ni”. Kami sama-sama membisu sebentar untuk mencari apa lagi yang mahu dicakapkan.
“Sudah kahwinkah belum…atau sudah ada orang yang punya?” tanyanya sambil menatap mukaku.
Aku teringat lirik lagu nyanyian Saloma dengan Ahmad Daud. Apakah gadis ini bertanya sambil bercanda padaku. Bagiku itu tak penting. Yang aku yakin dia pasti ingin kejujuran dariku kerana dewasa ini kejujuran sudah kurang dinilai dalam membina perhubungan.
“Belum…” jawabku pendek.
Saat terik matahari menyimbah bumi Darussalam di tengah-tengah rakyat negara ini meraikan Hari Kebangsaan, aku terus pergi ke satu pohon yang rendang untuk berteduh kerana tak tahan bahang kepanasan saat itu.
Di situlah aku bertemu dengan seorang pemuda kacak, tampan yang secara spontan hatiku telah tertawan padanya. Dia datang menghampiriku dan memperkenalkan dirinya. Hatiku bertambah yakin bahawa dia pemuda yang jujur dan ikhlas.
“Semoga saja perkenalan kita pertama ini berlanjutan hingga ke akhir nanti,” katanya padaku sambil mengukir tanah pasir persis ayam mencakar mencari makan.
Tapi ukiran itu sebenarnya simbol cinta yang mungkin saja dituju padaku. Aku mengambil ranting kayu yang digunakan tadi dan terus mengukir anak panah di tengah-tengah lambang cita yang diukirnya tadi. Dia senyum sambil memegang tanganku.
“Terima kasih kerana memahami perasaanku,” katanya.
“Kita mempunyai perasaan yang sama,” kataku membalas.
Pertemuan yang pertama yang juga pertemuan rasa cinta pertama dalam hidupku ini amat membahagiakan dalam hidupku. Sejak itu hubungan kami berjalan mulus. Selalu saja kami keluar jalan sama ke semua daerah. Antara kami keserasian begitu erat.

