Genap empat tahun pemergian suami, rasa cinta dan sayang masih terpahat di dalam hati penyanyi Bunga Citra Lestari terhadap Allahyarham Ashraf Sinclair.
Bunga, 41, bagaimanapun berkata, dia reda dengan pemergian Ashraf yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 18 Februari 2020.
“Sedikit demi sedikit kami lepaskan apa yang telah hilang tetapi tidak rasa cinta itu,” katanya.
Bunga berkongsi perkara itu menerusi hantaran dimuat naik di Instagram miliknya.
Menerusi perkongsian tersebut, Bunga turut berkongsi foto bersama anak lelakinya iaitu Noah Aidan dan suami Tiko Wardhana menziarahi pusara Allahyarham di San Diego Hill Memorial Park, Jakarta, Indonesia.

Pasangan itu dilihat turut bergambar bersama berdekatan kubur arwah.
Kemunculan Tiko juga mendapat pelbagai reaksi warganet yang rata-rata memuji lelaki tersebut atas kasih sayang dan sokongan ditunjukkan buat isteri.
“Macam mana nak cari suami macam Tiko? Boleh berdamai dengan masa lalu dan menerima kisah silam sang isteri dengan seadanya.
“Baiknya hati Tiko. Semoga selalu berbahagia Tiko dan Bunga,” komen warganet.
Untuk rekod, Bunga dan Ashraf mendirikan rumah tangga pada 2008 dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Noah Aidan Sinclair yang kini berusia 14 tahun, lapor mStar. – Agensi

