Selasa, Julai 29, 2025
33 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bunga Citra Lestari kagumi Jaclyn Victor

    Tidak pernah sekalipun sepanjang kariernya bergelar anak seni, menyangka impiannya untuk berkongsi pentas bersama-sama vokalis terbaik Asia yang bersuara lantang, Jaclyn Victor akhirnya bakal menjadi realiti buat bintang tersohor Indonesia ini.

    Sudah sekian lama mengagumi kekuatan suara juara Malaysian Idol musim pertama ini, Bunga Citra Lestari atau juga lebih dikenali sebagai BCL sememangnya tidak dapat menahan akan keterujaannya apabila pelantun lagu Gemilang ini akhirnya bersetuju untuk menjayakan konsertnya pada September depan.

    Terpancar jelas pada reaksi wajah isteri kepada Tiko Aryawardhana ketika sidang media konsert BCL: Eternal Love – Timeless Romance baru-baru ini, BCL berkata peluang berkongsi pentas bersama-sama penyanyi yang dikaguminya itu disifatkannya sebagai momen sangat berharga serta penghormatan besar buatnya.

    “Saya sebenarnya peminat Jac sejak dulu. Sewaktu dia mula menyanyi di acara ini (sidang media), saya hampir menangis. Dia memiliki suara yang hebat dan lunak. Saya rasa dia antara penyanyi terhebat di Asia,” katanya.

    Dianjurkan Pulse Project Asia, konsert yang bakal membawa penonton dan peminatnya menyusuri perjalanan muzik BCL yang menyentuh hati melalui pelbagai untaian indah lagu cinta abadi, balada penuh makna, bakal beraksi di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 27 September.

    Bunga (kiri) meminati kehebatan vokal Jac yang dianggap antara terbaik di Asia. – mStar

    Mengakui tidak sabar menemui peminatnya di Malaysia selepas kali terakhir pada 2023 menerusi Blossom Intimate Concert, BCL berkata persembahan kali ini bukanlah sekadar muzik semata-mata akan tetapi, lebih kepada pengalaman penyatuan rasa dan kasih antara dua negara serumpun.

    “Saya sebenarnya sangat gementar kerana dikelilingi orang-orang yang sangat berbakat.

    Tapi saya harap konsert ini akan menyatukan Indonesia dan Malaysia serta mencipta persembahan yang menyeronokkan dan bermakna buat semua,” katanya.

    Sementara itu, Jaclyn mengakui terharu apabila mengetahui BCL merupakan antara peminatnya.

    “Saya sebenarnya tak tahu dia kenal saya atau tidak. Kami pernah jumpa beberapa kali tapi tak pernah duduk sembang betul-betul. Jadi bila dia cakap begitu tadi, saya rasa wow,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda