Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bunga Daun penyeri laman rumah

    Oleh Nurdiyanah R.

    Dalam setiap kehidupan pastinya timbul kemahuan atau keinginan yang tersendiri. Hakikatnya, sebuah kehidupan itu perlu dijaga dengan sebaik-baiknya demi meraih nikmat kebahagiaan dan ketenangan diri, hati dan jiwa.

    Begitu juga hakikat bunga-bungaan di taman, apabila dibelai dengan penuh kasih sayang, ia akan mekar dan kelihatan cantik dan ceria. Seandainya tidak maka layulah bunga di taman dan rosaklah sebuah cinta sejati padanya.

    “Seperti menjaga naluri hati daripada segala keburukan, samalah juga segala jenis bunga-bungaan perlu dijaga dengan penuh kasih sayang.

    “Indah bentuk dan coraknya mampu mencoretkan cahaya ketenangan dan kegembiraan di hati ini,” itulah antara luahan hati salah seorang pencinta bunga hiasan daun segar, Dayang Salmiah binti Haji Sabtu semasa ditemui penulis di kediaman beliau di Kampung Jangsak, baru-baru ini.

    Lebih 200 jenis bunga daun

    Hobi dalam mengumpulkan pelbagai jenis bunga daun segar yang diketengahkan oleh wanita berjiwa kehijauan ini sememangnya bermula sekitar penghujung tahun lepas disebabkan keinginan naluri ketika mengandung untuk memiliki tanaman bunga-bungaan daun segar.

    Dijaga dengan penuh kasih sayang, begitulah rasa sayang Dayang Salmiah terhadap hobinya dalam mengumpul koleksi bunga hiasan daun segar, semasa ditemui penulis di kediaman beliau di Kampung Jangsak, baru-baru ini.
    Antara koleksi bunga hiasan daun segar yang dimiliki ialah Calathea, Anthurium, Philodendron, Begonia, Monstera dan Alocasia.
    Dayang Salmiah juga berjinak-jinak dalam seni fotografi terutamanya dalam merakamkan keindahan bunga-bungaan yang pastinya memiliki keistimewaan tersendiri.

    Menghiasi persekitaran halaman rumah Dayang Salmiah, terdapat lebih 200 jenis bunga hiasan daun segar daripada daun-daun yang berukuran kecil, sederhana sehingga besar dengan variasi corak yang unik dan indah.

    Antara koleksi bunga hiasan daun segar yang dimiliki ialah Calathea, Anthurium, Philodendron, Begonia, Monstera dan Alocasia.

    “Matahari, air dan nutrisi dari tanah seperti tanah hitam adalah yang paling mustahak dalam proses penjagaan bunga-bungaan secara asasnya.

    Namun dalam penjagaan bunga hiasan daun segar ini, sebaik-baiknya disiram sekali atau dua kali sehari dengan adanya pendedahan pada kadar cahaya matahari yang sederhana. Begitu juga dengan taburan baja-baja yang tertentu untuk menambah pertumbuhan yang lebih sihat,” jelasnya lagi dengan lebih terperinci.

    Mewujudkan sebuah ketenangan

    Rasa kecintaan Dayang Salmiah terhadap hobi berkenaan bagaikan semakin mekar mewangi pada diri dan jiwanya dari hari ke hari di mana kebiasaannya beliau menikmati hidangan sarapan di halaman rumah bersama suami dan anak-anak sambil diserikan dengan pemandangan tanaman segar menghiasi suasana keheningan pagi yang indah.

    “Di situlah saya merasa kedamaian dan ketenangan hanya dengan melihat keindahan tumbuh-tumbuhan yang segar dan mekar yang semakin dekat di hati dan jiwa ini,” ujarnya yang juga memiliki beberapa koleksi tanaman kaktus dan sukulen.

    Menubuhkan sebuah studio kecil

    Dalam pada itu, insan yang kini berusia dalam lingkungan 30an ini turut menyatakan bahawa dalam meniti dunia koleksi bunga hiasan daun segar ini, beliau semakin berjinak-jinak dalam seni fotografi terutamanya dalam merakamkan keindahan bunga-bungaan yang pastinya memiliki keistimewaan tersendiri apabila dihayati sedalam-dalamnya.

    Ibarat menubuhkan sebuah studio kecil, Dayang Salmiah hanya menggunakan papan putih sebagai latar belakang ketika sesi penggambaran ringkas dengan hanya menggunakan telefon bimbit sahaja.

    “Setiap gambar yang diambil pastinya memiliki jalan cerita yang tersendiri. Begitulah keseronokan yang dapat saya rasai, lebih-lebih lagi ketika bersantai.

    “Bagai satu kepuasan apabila setiap koleksi gambar yang diambil dan dimuatkan dalam laman Instagram dengan diselitkan bersama ungkapan-ungkapan curahan dari hati,” ucapnya dengan penuh keceriaan yang lebih dikenali dalam laman Instagram sebagai miahsgreens.

    Sentiasa belajar daripada pengalaman

    Mengenai kemahiran dalam bidang tanaman bunga-bungaan ini, Dayang Salmiah sememangnya tiada mengikuti kelas atau kursus-kursus tertentu. Bahkan beliau hanya memperoleh ilmu pengetahuan secara asasnya menerusi internet di samping sentiasa berkongsi ilmu dan pengalaman sesama rakan-rakan penggemar yang lain melalui aplikasi WhatsApp.

    “Hari ke hari, saya sentiasa belajar berdasarkan pengalaman praktikal peribadi dalam penjagaan seni tanaman ini. Hal ini amat penting untuk memantapkan ilmu pengetahuan dalam bidang ini. Sabar tanpa berputus asa, kemahuan, keikhlasan dan ketulusan adalah merupakan faktor utama dalam penjagaan bunga,” tegasnya dengan penuh yakin.

    Brunei ‘A Kingdom of Unexpected Treasures’

    Sememangnya, bumi Negara Brunei Darussalam memiliki kepelbagaian flora dan fauna yang begitu menakjubkan dengan kekayaan sumber-sumber khazanah alam semula jadi yang unik dan indah.

    “A Kingdom of Unexpected Treasures, itulah nama gelaran negara kita yang pastinya memiliki potensi khazanah alam semula jadi untuk dimajukan demi meningkatkan sektor ekopelancongan, di samping mendidik masyarakat agar lebih menghargai dan mencintai kehidupan khazanah alam semula jadi di negara ini,” ucap Dayang Salmiah dengan penuh ketulusan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda