Bunga Isme menangis dituduh punca putus hubungan

Tiada angin tiada ribut tiba-tiba nama penyanyi rap, Bunga Isme dikaitkan menjadi punca putusnya hubungan pasangan selebriti, Ismail Izzani dan Shalma Eliana.

Menafikan dakwaan tersebut, Bunga atau nama sebenar Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari, 21, mengakui terkilan apabila namanya disebut oleh warganet hingga terpalit fitnah itu.

“Saya cuba jaga imej saya dengan baik. Saya pun sendiri tak ada kongsi hal berkaitan hubungan dengan kekasih di media sosial… saya menangis tertanya-tanya kenapa orang tuduh saya macam tu?” katanya.

Sebelum itu, tular di Twitter kenyataan seorang warganet yang mendakwa Ismail pernah berlaku curang tidak lama dahulu.

Meskipun tidak menyatakan nama, namun berdasarkan status ditulis seolah-olah merujuk kepada kisah putus cinta Ismail dan Shalma.

Gara-gara kenyataan itu, ada pula yang mengaitkan penyanyi lagu Intan Payung ini sebagai wanita bertudung yang dinyatakan individu berkenaan.

“Jadi janganlah sebarkan fitnah tidak berasas ini, tidak rasa bersalah ke kongsi benda yang tidak betul? Saya anggap ini ujian daripada Allah dan berharap akan ada yang baik pada masa datang,” ujarnya.

Pada 31 Oktober lalu, Ismail Izzani mendedahkan hubungan cintanya dengan kekasih hati yang juga penyanyi, Shalma Eliana kini sudah berakhir. Ismail berkata dia dan Eliana sudah membawa haluan masing-masing dan kini mahu memberi fokus kepada kerjaya seni.

Penyanyi lagu Luar Biasa ini juga memberitahu dia dan Eliana bersepakat untuk membuang cincin berlian yang pernah diberikan ke dalam sungai. – Agensi

Bunga Isme dikaitkan menjadi punca putusnya hubungan pasangan selebriti, Ismail Izzani dan Shalma Eliana. – Agensi