Oleh Haniq Rafael
Tidak terasa, kita sudah menghampiri di penghujung bulan Syawal namun aura Aidilfitri itu masih lagi terasa.
Justeru, musim perayaan ini kediaman kita pasti akan dihias dengan begitu indah sekali bagai sebuah mahligai yang menarik termasuklah hiasan bunga.
Aidilfitri dan bunga sememangnya tidak dapat dipisahkan.
Rumah tanpa bunga ibarat tidak lengkap dan kurang serinya. Justeru, setiap kali musim Hari Raya, kaum wanita pasti akan mendapatkan sejambak bunga yang sudah sedia digubah atau membeli bunga segar untuk dijadikan penyeri ruang terutama ruang tamu dan ruang makan.
Ditempah lebih awal
Menurut salah seorang pengubah bunga, yang cuma ingin dikenali sebagai Adi menjelaskan, semasa musim perayaan ini, pasti ramai yang ingin mencantikkan ruang rumah mereka dengan gubahan bunga.
Sebagai seorang pengubah bunga, beliau lebih menyarankan untuk membuat pilihan kepada bunga segar atau bunga hidup kerana ia memberikan ruang yang segar dengan aroma yang diperoleh dari bunga tersebut misalnya bau dari bunga ros, lily,orkid dan lavender.
Menyentuh mengenai dengan tempahan pula, Adi berkata bahawa dia sudah mula sibuk semasa minggu kedua bulan Ramadan bagi mengubah bunga yang ditempah oleh pelanggan dan selebihnya dijual kepada orang ramai.
Menurut Adi, harga bagi setiap jenis bunga tersebut tergantung kepada jenis bunga berkenaan dan begitu juga dengan hiasan yang dibuat,apa yang penting adalah kepuasan pelanggan terhadap permintaan hiasan yang diinginkan.
