CARA tanam bunga Ros Jepun tidaklah sukar seperti menanam bunga-bunga yang lain. Ros Jepun sangat mudah dibiakkan menggunakan keratan batang. Bunga Ros Jepun sangat mudah diusahakan kerana tidak memerlukan pengetahuan yang tinggi. Kanak-kanak pun boleh menghasilkannya.
Di mana nak dapat keratan Ros Jepun? Anda boleh membeli keratan Ros Jepun ini secara dalam talian atau boleh beli pokok Ros Jepun yang sudah berbunga di tapak semaian. Kemudian boleh potong batangnya. Pastikan segala keperluan seperti pasu dan tanah disediakan terlebih awal. Jika mahukan keratan anda segar dan tahan lama, pastikan anda rendam dalam air terlebih dahulu, ini adalah untuk bagi memastikan keratan segar dan jangka hayatnya lama.
Cara tanam Ros Jepun dengan mudah adalah seperti berikut;
1. Terlebih dahulu sediakan tanah campuran dan pasu bunga. Kemudian masukkan ke dalam pasu bunga atau polibag atau bekas plastik terpakai. Anda boleh guna tanah campuran yang mempunyai kandungan bahan organik, kompos dan pasir. Anda juga boleh dapatkan tanah campuran ‘6 in 1’ yang terdapat dijual di pasar raya atau tapak semaian bunga. Anda boleh terus guna dan masukkan dalam bekas tanaman.
Jika anda menggunakan tanah hitam, anda perlu campurkan sedikit tanah merah (top soil) atau pasir. Baja organik juga boleh digunakan seperti baja cacing atau baja najis kambing untuk menjadikan tanah lebih subur.



2. Tanah yang siap perlu disiram dengan air sehingga basah untuk melihatkan kadar salirannya. Pastikan media campuran tanah tersebut tidak menakung air. Pokok Ros Jepun memerlukan tanah poroi atau yang bersaliran baik. Batang Ros Jepun mudah lembik jika terlebih kandungan air.
3. Seterusnya, keratan batang Ros Jepun tersebut perlu dicucuk terus ke tanah. Sekiranya batang tersebut panjang, boleh dipotong dua dengan ukuran panjang kira-kira 5cm.
4. Setelah selesai menanam kesemua keratan Ros Jepun tersebut, letakkan semaian di tempat teduh yang mempunyai sedikit sinaran matahari.
5. Siram bila perlu atau apabila tanah sudah kelihatan kering. Pastikan tanah sentiasa lembap.
6. Setelah lebih kurang satu hingga dua minggu, pokok Ros Jepun sudah kelihatan subur dan mengeluarkan pucuk baharu. Anda boleh pindahkan pasu tersebut ke tempat yang mempunyai sinaran terus matahari.
7. Lebih kurang dua minggu, pokok Ros Jepun bolehlah dibaja dengan baja pertumbuhan atau baja daun yang warna hijau atau baja kopi 8:8:8 (organik). Ros Jepun sangat memerlukan cahaya matahari, air dan baja yang mencukupi untuknya terus hidup dan tumbuh lebih subur. – Agensi