SEKADAR mempunyai koleksi tanaman ros atau mawar yang banyak seperti ladang, tapi tidak tahu beberapa fakta mengenainya, anda tidak boleh dikategorikan sebagai ‘Rosarian’ yang mempunyai ilmu padu. Jadi pastikan anda hadam terlebih dahulu fakta-fakta mengenai ros sebelum bersembang mengenainya.
1. Maksud setiap warna
Warna bunga ros kerap dirujuk pada maksud-maksud tertentu dan ada juga yang percaya setiap warna itu mempunyai kegunaan atau tujuannya berbeza. Umum tahu, warna merah membawa maksud cinta dan kuning sebagai tanda persahabatan. Bagaimana pula dengan yang lain seperti ros hitam, biru dan sebagainya. Warna yang terdapat pada ros bukanlah hanya disuaipadankan untuk tujuan tertentu malah ia mempunyai aura.
Aura dari ros banyak digunakan terutamanya untuk tujuan kesihatan rohani. Sebab itu, bila berkunjung atau melawat orang sakit, kita digalakkan membawa jambangan bunga terutamanya ros. Bagaimana pula dengan bunga yang diwarnakan? Memang ada ramai yang mewarnakan ros dengan teknik-teknik tertentu. Ia sekadar memenuhi permintaan dan bunga yang digunakan untuk diwarnakan adalah warna putih. Namun sehingga kini tiada kajian berkaitan khasiat ros yang diwarnakan.
2. Adakah produk ros sukar dicantas dan diselenggara?
Ramai beranggapan ros merupakan tanaman yang amat cerewet. Adakah ia fakta atau auta? Menurut buku pengenalan ros yang telah dikeluarkan oleh penulis Graham Clarke bertajuk ‘Success With Roses’ kebanyakkan tanaman ros yang terdapat di pasaran adalah dari jenis hibrid yang tahan kepada serangan penyakit dan serangga.
Ini menunjukkan, walau di mana sahaja tanaman ini berada, ia telahpun diubahsuai dan mempunyai daya tahan dan kadar penyelenggaraan sama seperti tanaman lain. Sukar untuk dicantas bukanlah isu. Untuk menghasilkan pokok yang gila berbunga, apa jenis tanaman pun perlukan cantasan. Jadi, jika anda mengelak atau culas untuk melakukan cantasan, ia bukanlah satu masalah besar pada tanaman ros.





3. Apakah jenis-jenis ros?
Terdapat pelabagai cara untuk mengklasifikasikan tanaman ros. Namun terdapat kategori atau jenis yang telah diiktiraf dan digunapakai oleh profesional antaranya ialah hibrid teas, polyanthas, floribundas dan grandifloras.
4. Ros dikategorikan dalam jenis tanaman apa?
Secara teknikalnya, ros dikategorikan sebagai shrub atau tanaman renek. Namun kebanyakkan peminat ros mengkategorikan tanaman ini di bawah tanaman herba. Ia disebabkan penggunaannya yang pelbagai di dalam bidang kulinari. Ros merupakan tanaman edible atau yang boleh dimakan yang kaya dengan vitamin c.
5. Jika tanam ros dikategorikan sebagai tanaman renek, bagaimana pula yang jenis memanjat?
Ros bukanlah tanaman jenis memanjat. Namun, apabila tumbesarannya tidak dikawal akan menyebabkan ia meninggi dan mencari ruang untuk bersandar. Ada sesetangah pokok ros terutamanya yang mempunyai kuntuman bungan kecil, memang mudah dan cepat membesar. Kebiasaannya jenis ros bunga kecil seperti Himalayan Musk Rose dipilih menjadi tanaman penghias trellis (junjung) atau archway (laluan arka).
6.Tanaman apakah yang terdapat di dalam keluarga ros?
Ros adalah tanaman dari genus rosa yang merupakan sebuah keluarga besar yang juga dikenali sebagai Rosaceae. Fakta ini memang tidak berapa memeranjatkan anda. Tetapi, kajian oleh American Rose Society (ARS), Rosaceae merupakan sub keluarga dari Rosoideae. Di dalam sub keluarga ros ini terdiri dari jenis tanaman lain iaitu raspberi, beri hitam dan strawberi.
7. Selain mencantikkan laman, apakah kegunaan lain tanaman ros?
Disebabkan ros dikategorikan sebagai tanaman low-maintenance, ada sesetengah spesis digunakan bagi tujuan mengawal gelongsoran atau tanah runtuh seperti Vivid Red. Ada juga yang sesuai dijadikan sebagai tanaman pagaran. – Agensi