Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Pasukan penyelidik Brunei dan Singapura mendedahkan bahawa genom bunga kebangsaan Negara Brunei Darussalam, bunga simpur mempunyai khasiat terapeutik anti kanser.
Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Hazri bin Haji Kifle berkata, penyelidik-penyelidik dari Institut Penyelidikan Biodiversiti dan Alam Sekitar (IBER) dan Fakulti Sains, UBD bersama penyelidik dari Institut Perubatan Biodiversiti SingHealth DukeNUS (BD-MED) telah berjaya menemui genom pertama di dunia dalam bunga simpur (Dillenia suffruticosa).
“Dapatan kajian bunga simpur telah disembahkan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor UBD semasa Majlis Konvokesyen ke-35 UBD kelmarin,” jelas Dr Hazri semasa sidang media mengenai penemuan itu di UBD, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Fakulti Sains, UBD dan IBER, Dr Hajah Norhayati binti Haji Ahmad menyentuh mengenai kepentingan budaya dan ekologi bunga simpur.
Beliau berkata, di Brunei, Dillenia suffruticosa atau simpur bini, dilihat menonjol kerana daunnya yang besar, bunga kuning terang dan buah berbentuk bintang merah jambu di mana spesies ini penting dalam budaya tempatan dan ekosistem hutan serantau.
Dr Hajah Norhayati turut mengongsikan mengenai penemuan utama genom dan sifat terapeutiknya.
Para penyelidik dari kedua-dua institut mengekstrak DNA daripada bunga simpur yang ditanam di taman-taman Pusat Penyelidikan Botani UBD.
Menggunakan teknologi penjujukan genom termaju dan analitik data, DNA atau genom lengkap bunga simpur dicantumkan yang mana genom didapati mengandungi 34,195 gen, iaitu 1.5 kali lebih banyak daripada genom manusia.
Para penyelidik juga mendapati bahawa genom bunga simpur berpotensi menghasilkan sebatian organik dengan sifat terapeutik.
Pemprofilan kimia ekstrak bunga simpur menggunakan spektrometri jisim mendapati bunga itu banyak terdapat dalam sebatian terpenoid dan flavonoid, sebahagian daripadanya melalui kajian saintifik lain, menunjukkan sifat terapeutik dengan aktiviti anti kanser yang menjanjikan pada sel kanser.
Pemprofilan bunga simpur telah mendedahkan beberapa saluran pengkomersilan yang berpotensi. Di luar sifat anti kanser yang menjanjikan, sebatian terapeutik dari bunga simpur juga mempunyai bukti anti-inflammatory dan anti mikrob berdasarkan literatur terdahulu.
“Dengan kajian lanjut, ejen daripada ekstrak bunga simpur ini boleh dimanfaatkan untuk membangunkan produk penjagaan luka, kosmeseutikal dan formulasi nutraseutikal yang berpotensi,” jelas Dr Hajah Norhayati lanjut.
Turut hadir semasa sidang media itu ialah Penolong Naib Canselor (Penyelidikan) UBD, Dr Abby Tan Chee Hong; Pengarah BD-MED, Profesor Teh Bin Tean; dan Cedric Ng dari BD-MED.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, projek genom Bunga Simpur adalah sebahagian daripada inisiatif untuk menyiasat banyak spesies flora unik Brunei dalam penyelidikan masa depan IBER.
Projek tersebut dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) serta disokong oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.