Sunday, February 16, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bunga Tacca Integrifolia mirip kelawar

    SPESIES Tacca Integrifolia dari keluarga tumbuhan Taccaceae ini juga merupakan tumbuhan liar dari Nusantara.

    Ia boleh ditanam sebagai tanaman hiasan kerana kecantikan bunga dan rumpunnya yang cepat tumbuh untuk menjadi rumpun yang cantik. Daunnya berbentuk bujur dan panjang berwarna hijau tua.

    Tumbuhan ini mengeluarkan bunga yang tumbuh dari perdunya. Bentuk bunganya itu agak unik iaitu mirip bunga lili dan juga menyerupai kelawar dengan misai-misainya yang panjang berwarna ungu tua kehitaman. Sebab itulah ia diberikan dengan beberapa nama gelarannya seperti Bat lily atau lili kelawar dan Black Lily atau lili hitam.

    Di samping itu, ia juga dikatakan berasal dari beberapa buah negara lain seperti Thailand, Singapura, India dan Myanmar. Ia juga boleh dilihat tumbuh meliar di beberapa kepulauan seperti Jawa, Sumatera dan Borneo.

    Pembiakan dan penanaman

    Tumbuhan ini senang untuk dibiakkan dengan menggunakan kaedah belahan rumpun. Kaedah penanamannya adalah dengan mengorek rumpun pokok yang matang bersama medium tanamannya.

    Bentuk bunga Tacca Integrifolia agak unik iaitu mirip bunga lili dan juga menyerupai kelawar dengan misai-misainya yang panjang berwarna ungu tua kehitaman.
    Bentuk bunga Tacca Integrifolia agak unik iaitu mirip bunga lili dan juga menyerupai kelawar dengan misai-misainya yang panjang berwarna ungu tua kehitaman.
    Daun Tacca Integrifolia berbentuk bujur dan panjang berwarna hijau tua.
    Daun Tacca Integrifolia berbentuk bujur dan panjang berwarna hijau tua.

    Kemudian potong rumpunnya kepada beberapa rumpun yang lebih kecil. Tanam setiap rumpun dalam pasu dengan campuran medium tanaman yang baru atau di tanah.

    Ia sesuai untuk ditanam dalam medium tanaman yang bersaliran baik dan kaya dengan humus untuk pertumbuhan rumpun pokok yang subur.

    Medium tanaman yang biasa digunakan untuk tanaman pokok berpasu iaitu campuran 3:2:1 merangkumi tanah peroi, bahan organik dan pasir sungai adalah sesuai untuk pokok ini.

    Penjagaan

    Pada dasarnya Tacca Integrifolia cukup sesuai untuk dipamerkan di tempat teduh. Apabila didedahkan kepada cahaya matahari yang berlebihan daunnya akan cepat menjadi kering seakan-akan terbakar.

    Ia juga memerlukan medium tanaman dengan kelembapan yang tinggi untuknya tumbuh subur. Oleh itu siram sebanyak dua kali sehari pada hari panas dan juga semburkan daunnya dengan air.

    Jangan membiarkan medium tanamannya kering kerana ini boleh menjejaskan pertumbuhan pokok ini. Siram bila perlu sahaja pada hari hujan.

    Baja organik adalah sangat sesuai untuk pokok ini kerana ia dapat membekalkan humus yang banyak untuk kesuburan pokok, tetapi baja jenis lain juga boleh digunakan.

    Namun elakkan dari menggunakan baja bijian kerana ia boleh melecur di bahagian pokok jika terkena.

    Idea pameran

    Pokok ini sesuai untuk dipamerkan di tempat teduh seperti di dalam kediaman. Ia sesuai untuk ditanam dalam pasu sebagai pokok spesimen atau dicampurkan dengan pokok berbunga atau berdaun dalam satu gubahan pokok hidup,

    Ia juga boleh ditanam di atas tanah secara solo atau dicampurkan dengan pokok yang juga berdaun cantik dalam satu gubahan yang menarik.

    Tanam semula dalam pasu yang lebih besar untuk pertumbuhan pokok yang lebih subur sekaligus mengelakkan rumpun pokok menjadi tidak kemas.

    Pecahkan rumpun pokok kepada rumpun yang lebih kecil untuk ditanam semula ke dalam pasu lain dengan campuran medium tanaman yang baru.

    Jika didapati akar pokok terdedah disebabkan oleh siraman air yang kuat tambahkan medium tanaman ke dalam pasu berkenaan bagi menutupi bahagian akar berkenaan. Cuci daunnya dengan tuala lembap dan sapukan cecair Leaf gloss untuk penampilan daunnya yang lebih bersinar, cantik dan menarik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda