Penyanyi Bunga, 23, tidak menyangka mampu membolosi empat pencalonan awal Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-35 yang diumumkan, baru-baru ini.
Bunga berkata dia amat terkejut mampu menembusi empat kategori iaitu BBNU Wanita Popular, Penyanyi Wanita Popular, Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular bersama Siti Nordiana menerusi lagu Amaran serta Lagu Paling Boom, duet bersama Noraniza Idris menerusi lagu Intan Payung.
“Saya sangat bersyukur atas pencalonan ini, lebih lagi, dicalonkan bersama barisan penyanyi hebat di Malaysia.
“Disebabkan itu, jika tanya saya soal menang atau kalah, itu belakang kira.
“Alhamdulillah, apabila nama dicalonkan pun sudah bermakna nama saya masih relevan.
“Dan ini juga kali pertama saya dicalonkan dalam ABPBH,” katanya kepada BH Online.
Bunga atau nama sebenarnya, Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari berkata, dia tidak meletakkan harapan tinggi, lebih-lebih lagi, bersaing dengan nama lebih hebat dan popular.
“Untuk layak ke peringkat lima teratas pun mungkin hanya satu peratus sahaja. Bukan saya tidak yakin, tetapi sukar untuk melayakkan diri.
“Saya tahu di mana kemampuan saya dan nama yang dicalonkan sangat hebat, jadi siapalah saya. Saya hanya mampu berdoa sahaja.
“Mungkin, saya mampu membolosi kelompok Top 5 menerusi kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular bersama Siti Nordiana dan Lagu Paling Boom, duet bersama Noraniza.
“Ini kerana kita tahu mereka mempunyai kumpulan peminat yang kuat, mampu membantu saya.
“Saya tidak menafikan memerlukan sokongan peminat Siti Nordiana dan Noraniza,” katanya. – Agensi