Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 DIS – Dua buah kotak mengandungi daging dan 12 buah bungkusan plastik mengandungi ayam serta perahu yang telah digunakan semasa penyeludupan berjaya dirampas oleh Pasukan Polis Simpanan ‘C Kompeni (Polis Hutan) Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) semasa operasi di sebuah Kampung di Daerah Temburong.
Dalam operasi berkenaan, Pasukan Polis Hutan (POLTAN) telah mengesan sebuah perahu yang mencurigakan di tepi tebing dan mendapati seorang lelaki sedang mengangkat dan memunggah barang-barang dalam beg plastik dipercayai mengandungi barang tegahan sedang diseludup dari negara jiran melalui sungai.
Suspek tersebut seterusnya bertindak terjun ke sungai dan melarikan diri ke sempadan negara jiran. Setelah pemeriksaan lanjut dilakukan di kawasan tersebut, plastik-plastik yang sama juga dijumpai di sebuah rumah kosong yang berdekatan dengan tebing tempat perahu berlabuh.
Kes telah dilaporkan ke Balai Polis Bangar dan diserahkan ke pihak Jabatan Kastam & Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut.
PPDB serta agensi penguatkuasa yang lain juga ingin menasihatkan kepada orang ramai akan sentiasa berwaspada dan memberikan kerjasama jitu dengan menyalurkan maklumat bagi membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang di dalam Negara Brunei Darussalam, mahupun di kawasan-kawasan sempadannya.