KOTA KINABALU, 16 OGOS – Jumlah bungkusan yang dihantar ke Sabah melalui Pos Malaysia dari Januari hingga Julai lepas meningkat sebanyak 41 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Mohamed Rozaidi Md Sharif berkata peningkatan itu di-sebabkan trend orang ramai beralih kepada pembelian atas talian susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak COVID-19.
“Semenjak PKP dilaksanakan, Pos Malaysia Sabah telah menerima 65,000 sehingga 80,000 bungkusan sehari menyebabkan kita mengalami masalah kelewatan penghantaran kerana kita hanya mampu menghantar 20,000 bungkusan sehari.
“Oleh itu, Pos Malaysia telah berusaha untuk menyelesaikan masalah berkenaan dengan mengambil beberapa inisiatif termasuk mewujudkan Pusat Pos Laju (PPL) baharu di Lok Kawi yang kini mampu memproses atau menghantar 40,000 hingga 60,000 bungkusan sehari dengan lebih cepat dan sistematik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas Majlis Perasmian PPL Lok Kawi, dekat sini hari ini yang dirasmikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dr Fadhullah Suhaimi. – Bernama\