Gempak, bertenaga dan menghiburkan. Itulah yang dirasakan pada Konsert Bunkface Rock In Borneo di sini, baru-baru ini.
Berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) pada 19 Julai lalu, ada peminat datang seawal jam 3 petang untuk bertemu secara dekat dengan kumpulan yang cukup dengan lagu genre ‘punk rock’ itu.
Menghiburkan hampir 2,000 peminat, kemunculan Bunkface di Penampang cukup dinantikan terutama peminat setia.
Membuka pentas konsert tepat jam 8 malam, peminat teruja melihat kemunculan kumpulan diketuai vokalis Sam itu menerusi lagu Bunk Anthem dan I Miss You.
Adrenalin penonton bagaikan melonjak apabila Bunkface meneruskan konsert dengan menyanyikan lagu Rentak Laguku, Kembali, More dan Soldier.
Sam yang cukup teruja dengan kehadiran penyokong Bunkface, mengajak peminat menyanyikan bersama lagu Malam Ini Kita Punya, yang menjadi antara ‘killer song’ Bunkface sejak 16 tahun bertapak dalam industri muzik Malaysia.
Antara lagu lain yang dipersembahkan adalah Silly Silly, Dunia, Darah Muda, Ekstravaganza, Panik, Situasi dan Revolusi.
Ditemui sejurus konsert berakhir, Sam berkata, dia dan ahli Bunkface cukup terharu melihat reaksi peminat sepanjang persembahan.
“Terkejut sebab penonton dari mula sampai habis seperti tidak penat. Kami yang di atas pentas rasa macam putus nafas, tetapi peminat hebat.
“Mereka boleh melompat seawal konsert sehingga lagu terakhir. Itu penghargaan peminat yang kita nampak. – Agensi