Thursday, February 6, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bunuh isteri nazak, banduan British dibebaskan

    NICOSIA, 31 JULAI – Seorang pesara British di Cyprus yang membunuh isterinya yang sakit tenat telah dijatuhi hukuman penjara dua tahun hari ini tetapi kemudian dibebaskan selepas menamatkan tempoh penahanan, kata peguamnya.

    David Hunter, 76, pada mulanya dibicarakan atas tuduhan membunuh isterinya, Janice, 74 tahun, yang menghidap kanser darah, pada 18 Disember 2021.

    Tetapi dia telah disabitkan minggu lalu atas pertuduhan yang lebih ringan iaitu pembunuhan belas kasihan terhadap isterinya yang telah bersamanya selama lebih daripada setengah abad.

    Mengambil kira masa yang telah dihabiskan oleh Hunter di dalam penjara sejak penangkapannya dan kelakuan baiknya, dia akan dibebaskan dengan segera, kata peguam belanya.

    “David Hunter dijatuhi hukuman dua tahun yang bermakna dia akan dibebaskan daripada tahanan dengan serta-merta,” kata peguam British, Michael Polak dari kumpulan Justice Abroad.

    “Kami sangat berpuas hati dengan hukuman mahkamah hari ini.”

    Keputusan Mahkamah Jenayah Paphos adalah sebulat suara, dengan ketiga-tiga hakim berkata mereka telah mengambil kira keadaan peribadi serta keperluan untuk menyampaikan mesej pencegahan. – AFP

    Seorang pegawai polis mengiringi Hunter dari perkarangan kompleks mahkamah di Paphos, Cyprus, pada 21 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda