TAWAU, 3 DIS – Seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, yang ditemukan mati di kolej itu, ada meminta tolong kerana kesakitan selepas dipukul di bilik asrama 5 Belian, pada malam 21 Mac lepas.
Saksi pendakwaan ke-13 yang juga rakan mangsa itu berkata Mohamad Nazmie Aizzat, cuba meminta bantuan daripada pelajar lain di bilik itu, memaklumkan bahawa dia sudah tidak mampu bertahan akibat dipukul oleh tertuduh-tertuduh dalam kes itu.
“Kemudian terus tertuduh kedua cakap diam kau,” katanya saksi tersebut ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Sementara itu, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao, saksi tersebut turut memberitahu bahawa sekitar 11 malam, dia yang berada di bilik asrama 5 Belian menyaksikan Mohamad Nazmie Aizzat dikerumuni tertuduh pertama, keempat, kelima, keenam, ketujuh, kelapan, kesembilan, ke-11 serta ke-13.
“Tertuduh pertama serta ke-11 memukul mangsa, yang lain diam. Selepas lima hingga 10 minit, tertuduh kedua pula tiba,” kata saksi itu, yang menambah bahawa dia tidak melaporkan kejadian itu kerana dihalang oleh 13 tertuduh terbabit.
Saksi juga mengesahkan melihat tertuduh kedua menendang dan memijak belakang badan Mohamad Nazmie Aizzat di bilik asrama 5 Belian.
Selain Ng, pendakwaan dikendalikan bersama Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif serta Batrisyia Mohd Khusri.- Bernama