ISTANBUL, 15 MAC – Pembunuhan seekor kucing jalanan di Istanbul telah mencetuskan petisyen, protes dan ugutan bunuh, sekali gus mendesak presiden campur tangan dan mahkamah membicarakan semula pelakunya.
Pada 1 Januari, Ibrahim K dirakam di kamera keselamatan di lobi bangunan tempat dia tinggal menendang hingga mati seekor kucing liar bernama Eros yang selalu diberi makan oleh jirannya.
Dia dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan pada awal Februari tetapi kemudian dibebaskan kerana berkelakuan baik, mencetuskan kemarahan dalam kalangan kumpulan kebajikan haiwan dan sebahagian orang awam di Turkiye, di mana populasi kucing liar yang besar sering diberi makan dan dilindungi.
Kira-kira 320,000 orang menandatangani petisyen dalam talian menuntut hukuman yang lebih berat dan pada akhir Februari Kementerian Kehakiman berkata Ibrahim K akan dibicarakan semula selepas menerima panggilan daripada Presiden Recep Tayyip Erdogan pada malam yang mengatakan beliau mengambil berat tentang kes itu.
Ibrahim K dibicarakan semula pada Rabu di sebuah bangunan mahkamah di mana ratusan orang memenuhi koridor dan suasana menjadi tegang.
Hakim menambah hukumannya selama setahun tetapi tidak mengarahkannya ditahan, tidak menghiraukan tuntutan kumpulan kebajikan haiwan dan pengguna internet yang telah menghantar ancaman bunuh.
Satu kumpulan hak asasi haiwan akan memohon rayuan, berkata Ibrahim K harus dipenjarakan selama empat tahun maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang.
Semalam, Hashtag #JusticeforEros (#ErosicinAdalet) telah menjadi tren terkini di X, dahulunya Twitter di Turkiye dan beberapa akhbar utama, termasuk Hurriyet, memampangkan gambar kucing mati di halaman depan mereka. – AFP


