Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jan – Koridor Mahkamah Majistret di sini, semalam dipenuhi orang awam yang mahu melihat wajah dua lelaki tempatan yang dihadapkan untuk sebutan kes berhubung kematian seorang lelaki tempatan.
Supariddin bin Haji Mat Jinin dan Haji Tuah bin Haji Tarip didakwa bersubahat dengan beberapa lagi atas tuduhan membunuh tanpa niat Haji Aziz bin Haji Johara berusia 44 tahun.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Pos Kawalan Kuala Lurah pada awal pagi 12 Januari 2017.
Dalam sebutan, Timbalan Pendakwa Raya Sharon Yeo memohon tahanan reman tertuduh dilanjutkan kerana polis masih melakukan penyiasatan
Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin membenarkan permohonan dan melanjutkan tempoh tahanan reman sehingga 30 Januari.
Majistret Kanan kemudian bertanya kepada kedua-dua yang berdiri di kandang bersalah sama ada mereka ingin mengatakan sesuatu mengenai perintah lanjutan tahanan reman tersebut.
Tertuduh hanya menjawab yang mereka tidak mahu ditahan reman dan berharap untuk diberikan ikat jamin kerana perlu hadir ke tempat kerja.
Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa mengenai perkara itu kerana ikat jamin hanya boleh dibuat di Mahkamah Tinggi, jawab Majistret Kanan.
Tertuduh kemudian meminta kebenaran untuk melihat keluarga mereka yang berada di galeri awam.
Majistret Kanan membenarkan perjumpaan dibuat di bilik mahkamah tanpa perlu ada perbincangan antara tertuduh dan keluarga.
Kesalahan membunuh tanpa niat atau bersubahat membunuh tanpa niat memperuntukkan penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.