BOGOTA, 5 JUN – Seorang lelaki Amerika Syarikat (AS) dijatuhi hukuman penjara 42 tahun di Bogota kelmarin kerana membunuh seorang deejay terkenal Colombia, kes yang menimbulkan kemarahan aktivis hak wanita antarabangsa.
John Nelson Poulos telah ditangkap pada Januari 2023 di Panama ketika sedang melarikan diri daripada pihak berkuasa Colombia kerana membunuh Valentina Trespalacios, 23, teman wanitanya selama setahun.
Pendakwa berkata dia telah memukul dan mencekik wanita itu dalam keadaan ‘cemburu’.
Rakaman kamera menunjukkan Poulos meninggalkan apartmennya sambil menolak troli dengan beg pakaian besar, di mana mayat Trespalacios telah disumbat di dalamnya.
Mayatnya kemudian ditemui dalam bekas sampah.
Tahun sebelumnya, Pihak Berkuasa Pembunuhan Wanita Colombia merekodkan 612 pembunuhan wanita di negara itu, walaupun kerajaan hanya mencatat 100.
Pembunuhan wanita telah diiktiraf jenayah berbeza di Colombia sejak 2015. – AFP


