Fan belt, atau juga dikenali sebagai serpentine belt, ialah satu jalur getah sintetik yang menghubungkan beberapa komponen enjin dengan menyalurkan kuasa putaran dari satu komponen ke komponen lain.
Memandangkan fan belt salah satu alat wear and tear, awda perlu menggantikannya dengan yang baharu apabila tiba penghujung jangka hayatnya. Tapi, macam mana nak tahu bila kita perlu ganti fan belt? Apa petanda dan simptom fan belt kereta dah rosak? Jom ikuti laman blog WapCar untuk mengetahui dengan lanjut.
4 TANDA FAN BELT KERETA SUDAH ROSAK DAN PERLU DIGANTI
1. ‘Bunyi tikus’ atau bingit daripada ruang enjin
Petanda paling ketara ialah bunyi bingit atau ‘bunyi tikus’ yang datangnya daripada ruang enjin apabila kereta dihidupkan. Bunyi ini terhasil akibat belt ini tergelincir atau tidak melekat sempurna pada pulley.
Jika bunyi ini kedengaran jelas dari enjin kereta awda, sebaiknya pandu kereta awda ke bengkel berhampiran yang dipercayai untuk diperiksa. Jika dibiarkan terlalu lama, fan belt bermasalah boleh putus dan akan menyebabkan awda terkandas.
2. Apabila ada rekahan atau cebisan hilang di bahagian bawah belt
Cara untuk mengesan fan belt rosak ialah dengan memeriksa bahagian bawah belt berkenaan – jika ada rekahan atau ketulan yang hilang, tukar segera.
Memandangkan belt itu diperbuat daripada getah yang diperkuatkan, belt merekah bermaksud integriti getah berkenaan sudah terjejas dan mudah putus.
Inilah sebabnya mengapa awda mesti biasakan diri untuk buat pemeriksaan berkala pada kereta awda. Jika masalah ini dapat dikesan awal, awda tak perlu risau terkandas dan garu kepala di kemudian hari.



3. Hawa atau udara panas keluar dari corong penyaman udara
Salah satu simptom fan belt rosak ialah apabila aircond kereta tidak sejuk. Memandangkan fan belt menyambungkan enjin dengan pam aircond, belt yang rosak berpotensi untuk menyebabkan sistem penyaman udara kereta awda untuk tidak berfungsi dengan baik.
Bagi kereta dengan power steering hidraulik, fan belt yang rosak juga boleh menyebabkan stereng terasa lebih berat kerana belt ini juga disambung kepada pam power steering hidraulik.
4. Enjin overheat atau terlampau panas
Enjin terlampau panas ialah simptom paling teruk yang boleh terjadi disebabkan oleh fan belt rosak. Belt ini disambung kepada pam air dan fan belt rosak boleh mengakibatkan pam ini tidak berfungsi, seterusnya mengakibatkan enjin overheat.
Jika awda dapati suhu enjin naik pada paras bahaya, sebaiknya hentikan kereta awda di bahu jalan dengan selamat dan hubungi mekanik.
Jangan cuba teruskan pemanduan kerana ia boleh membuatkan keadaan kereta menjadi lebih teruk.
Secara amnya, fan belt tidak termasuk di dalam jadual penyelenggaraan kenderaan. Oleh itu, ini bergantung kepada awda sebagai pemilik kereta untuk membuat pemeriksaan berkala bagi memastikan komponen kenderaan sentiasa dalam keadaan tip-top.
CARA MENGATASI BUNYI FAN BELT
Memetik dari laman Gardaoto, berikut ialah beberapa cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah fan belt yang mengeluarkan bunyi. Sebelum menghantar kenderaan ke bengkel, awda boleh cuba langkah sementara berikut:
1. Bersihkan pulley dan fan belt
Kotoran yang melekat pada komponen ini boleh menjadi punca ‘bunyi tikus’. Untuk membersihkannya, awda perlu menanggalkan terlebih dahulu semua pulley yang bersambung dengan fan belt supaya pembersihan dapat dilakukan dengan sempurna.
2. Sembur dengan air sabun
Bagi meredakan bunyi fan belt buat sementara waktu, awda boleh membersihkannya dengan campuran sabun dan air. Kaedah ini membantu mengurangkan ‘bunyi tikus’ daripada fan belt.
Perlu diingat, langkah ini hanya bersifat sementara dan tidak bertahan lama. Untuk penyelesaian jangka panjang, fan belt perlu dibaiki atau diganti.
3. Sapukan pelincir
Salah satu punca fan belt berbunyi ialah kerana keadaan yang terlalu kering. Oleh itu, awda boleh menyapu sedikit pelincir supaya putarannya lebih lancar. Namun, jangan gunakan terlalu banyak kerana lebihan pelincir boleh menyebabkan selip dan bunyi menjadi lebih kuat.
4. Gunakan cecair pembersih khas
Selain air sabun atau pelincir, awda juga boleh menggunakan semburan khas yang dipanggil belt dressing. Cecair ini lebih selamat digunakan dan berfungsi meredakan bunyi fan belt buat sementara.
5. Laras semula fan belt
Masalah kelonggaran atau ketegangan fan belt yang tidak sesuai juga boleh menyebabkan bunyi. Jika fan belt longgar atau tidak terpasang dengan baik, lakukan pelarasan semula.
6. Hantar ke bengkel
Jika semua cara di atas tidak berhasil, segeralah bawa kenderaan ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut. Mungkin terdapat kerosakan serius pada fan belt. Jika dibiarkan, fan belt berisiko putus ketika kenderaan sedang dipandu.
Semoga artikel kali ini berguna untuk menjelaskan punca ‘bunyi tikus’ semasa enjin kereta awda dihidupkan. Jangan lupa kongsi kepada rakan taulan dan ahli keluarga sebagai ilmu tambahan supaya kita semua boleh jadi pemilik kereta yang lebih bertanggungjawab. – Agensi

