Adab di tempat awam sepatutnya menjadi cerminan nilai diri. Namun, masih ada individu yang gagal memahami perkara asas ini.
Bahkan, ada juga yang terbawa-bawa sikap di rumah ke tempat awam. Bayangkan, sedang menikmati hidangan di restoran segera di kawasan Lambak, tiba-tiba suasana makan berubah menjadi ‘konsert’ bunyi hingus seorang lelaki berumur 40an. Bukan sekali dua, tetapi lebih 10 kali! Jika sekali pun sudah mengganggu, apatah lagi berkali-kali?
Pelanggan yang duduk berhampiran mula angkat kaki, bukan kerana makanan tidak sedap, tetapi kerana rasa meluat dan ‘kambang liur’. Lebih menyakitkan hati, bukan sahaja dia tidak menunjukkan sekelumit rasa bersalah, malah berani pula menentang pandangan orang lain dengan wajah selamba, seolah-olah perbuatannya itu tidak mengganggu pelanggan di sekelilingnya.
Sikap seperti itu bukan sahaja menjengkelkan, malah menunjukkan kurangnya kesedaran sivik. Jika budaya hormat-menghormati semakin terhakis, tidak mustahil kita akan menjadi masyarakat yang semakin tidak peduli dengan adab asas.
Pihak restoran juga sepatutnya memainkan peranan. Jangan biarkan pelanggan lain terganggu hanya kerana seorang individu yang tidak tahu menjaga tingkah laku.
Sediakan papan peringatan atau ambil tindakan sewajarnya jika ada pelanggan yang mengganggu suasana makan. Bagi orang ramai jika melihat individu yang tidak beradab seperti itu, tegur sahaja kerana dengan berbuat demikian adalah lebih baik daripada membiarkan supaya individu tersebut sedar akan sikapnya yang jijik.
Mr.A
