Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan – Sinofood Express, selaku pemegang francais Burger King di Brunei terus mengorak langkah dengan membuka cawangan terbaru syarikat itu, terletak di Unit 10, Kompleks Seri Kiulap, Kampung Kiulap.
Perasmian cawangan ketujuh Burger King itu disempurnakan oleh Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Brunei Darussalam, Craig Allen bersama dengan Pengarah Burger King Brunei, Pengiran Hashim bin Pengiran Haji Jaya.
Buger King bermula pada tahun 1953 sebagai kedai burger dengan rangkaian yang kecil. Sejak itu, penggemar makanan di seluruh dunia mengenali Burger King menjadikannya makanan kegemaran mereka yang menyediakan makanan-makanan segera sebagai tempat berinteraksi dan bersantai di samping menyatukan rakan dan keluarga, kata Craig Allen.
Menurutnya, kedutaan AS juga menyokong perusahaan-perusahaan AS dan menggalakkan budaya dan ekonomi di antara AS dan Brunei.
“Saya percaya Burger King Brunei, dengan 100 orang kakitangan warga Brunei akan mengembangkan perkhidmatan mereka dengan menyalurkan khidmat penghantaran dan berkemungkinan perkhidmatan pandu lalu di masa hadapan.




“Saya ingin mengambil peluang mengucapkan tahniah kepada Burger King Brunei menjadi sebagai makanan segera pantas membangun di Brunei,” katanya.
Bersempena dengan pembukaan rasmi cawangan tersebut dan juga sambutan Tahun Baru Cina, Burger King turut melancarkan produk terbaru ‘Golden Nacho Burger’ yang hanya boleh didapati pada waktu terhad.
Burger King mula bertapak di Brunei sejak Disember 2013 dan sejak itu ia terus berkembang pesat dengan tujuh cawangan dibuka selama 36 bulan sahaja.
Ini adalah hasil inisiatif kerajaan ‘Ease of Doing Business’ yang telah mempercepatkan proses pembukaan perniagaan di Brunei.